KUALA LUMPUR 20 Mac - Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin membidas tindakan kerajaan campuran pimpinan Pakatan Harapan (PH) membuat 'pusingan U' melantik ahli politik menjadi pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Kadir Jasin dalam tulisan terbarunya di Facebook hari ini mendakwa, tindakan tersebut adalah kemungkiran janji pilihan raya PH dan langkah undur ke belakang.
Beliau berkata, ia sekali gus menimbulkan kebimbangan yang mana GLIC dan GLC akan menjadi 'sarang penyamun korporat' seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sekali lagi dan digunakan untuk 'bailout' syarikat serta usahawan yang gagal.
Katanya, GLIC dan GLC boleh berjaya dan cemerlang jika dibenarkan secara profesional tanpa campur tangan politik.
"Sekarang kita hanya boleh berharap yang lantikan politik ini bukan daripada jenis penyamun dan mereka menjalankan tugas dengan telus dan berintegriti serta tidak mengganggu pegawai dan eksekutif profesional," katanya.
Menurut Kadir Jasin, beliau turut menyentuh mengenai kejayaan syarikat minyak negara, Petronas yang mencipta kegemilangan menerusi penulisan rencananya dalam Sinar Harian, semalam.
Katanya, dalam suasana muram yang mana banyak GLIC, GLC dan agensi ekonomi kerajaan dilanda kemelut kewangan akibat pengurusan tidak cekap, kurang amanah dan dinoda pula oleh lantikan politik yang jahat, Petronas terus cemerlang.
"Tentu ada orang akan meremehkan kecemerlangan Petronas ini dengan berkata, ia berjaya kerana ia sebuah monopoli dan kerjanya hanya menggali minyak dan gas dari perut bumi.
"Betul, tapi kita kena ingat banyak syarikat minyak dan gas milik negara yang berstatus monopoli bukan saja mengalami masalah malah ada yang muflis dan terpaksa diselamatkan," katanya.
Ujar beliau, Petronas adalah bukti bahawa tradisi amanah dan cemerlang boleh disemai dan disuburkan dalam dunia korporat tempatan, khususnya dalam kalangan GLIC dan GLC.
"Baru-baru ini Petronas melaporkan yang ia mencatatkan keuntungan bersih terbesar dalam sejarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, sebanyak RM101.6 bilion.
"Mengikut Institut Tabung Kedaulatan (Sovereign Fund Institute), Petronas adalah syarikat minyak nasional yang ketiga terbesar di dunia selepas syarikat minyak Arab Saudi dan Brazil. Petronas mempunyai harta (aset) sebanyak AS$144.2 bilion (RM648.9 bilion)," katanya.
Katanya, kejayaan Petronas adalah hasil pandangan jauh perdana menteri sebelum ini, bermula dengan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein yang mengasaskan Dasar Petroleum Negara dan menubuhkan Petronas pada tahun 1974.
"Pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, bidang perniagaan Petronas mendapat anjakan besar apabila ia digalakkan melabur di luar negara. Melalui diplomasi dan bimbingan beliau, Petronas mengembangkan sayapnya ke merata pelosok dunia mencari dan mengeluarkan minyak dan gas," katanya. - DagangNews.com








