KUALA LUMPUR 9 Feb - Pasaran buruh di Malaysia akan terus mengukuh tahun ini disokong oleh momentum yang lebih meyakinkan dalam ekonomi domestik dan pengembangan sederhana dalam sektor luar, demikian menurut MIDF Research.
Firma itu menjangkakan kadar pengangguran Malaysia akan menurun lagi kepada 3.5%, tetapi masih lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik sebanyak 3.3%.
Katanya, pengembangan yang mantap dalam sektor utama serta pembinaan dan perkhidmatan akan meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan pada tahun depan.
"Ini akan menyaksikan tenaga buruh dan guna tenaga dijangka meningkat masing-masing sebanyak 1.6% tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Bilangan penganggur pada Disember 2022 kali pertama jatuh di bawah paras 600,000 - DOSM
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bilangan penganggur di Malaysia terus mencatat penurunan pada Disember 2022, di bawah paras 600,000 orang buat kali pertama sejak Mac 2020.
Pada bulan tersebut, bilangan penganggur merekodkan pertumbuhan negatif 0.2% kepada 599,600 berbanding 600,900 pada November 2022. Ini menjadikan kadar pengangguran Disember kekal pada 3.6%.
Bagi suku keempat 2022 pula, bilangan penganggur menurun 1.9% kepada 600,500 orang yang menyaksikan kadar pengangguran menurun sedikit kepada 3.6% pada suku tersebut berbanding 3.7% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.
MIDF Research berkata, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun turun ke paras rendah baharu iaitu 11.8%, tetapi masih kekal lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik (2019: 10.4%).
Katanya, kadar pengangguran menurun lagi sebanyak 12.8% tahun ke tahun, menandakan kadar penguncupan bulan ke-16 berturut-turut.
"Secara keseluruhan, kadar pengangguran mencatat purata lebih rendah pada 3.8%, masih lebih tinggi daripada purata sebelum pandemik (2019) pada 3.3%.
"Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi yang teguh direkodkan pada tahun lalu, kami berpendapat kekurangan buruh, rantaian bekalan global yang semakin ketat dan kebimbangan COVID-19 adalah antara faktor kelemahan yang akan mempengaruhi pemulihan kukuh pasaran kerja," jelasnya. - DagangNews.com








