Kadar pengangguran diunjur susut kepada 3.5% pada 2023, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pengangguran diunjur susut kepada 3.5% pada 2023, kata MIDF Research 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - MIDF Research mengekalkan unjuran purata kadar pengangguran di Malaysia sebanyak 3.5% pada 2023.

 

Menurutnya, pasaran buruh negara ini dijangka terus kukuh tahun ini disokong momentum peningkatan berterusan dalam ekonomi domestik dan pengembangan sederhana dalam sektor luaran.

 

“Dijangka kadar pengangguran akan menyusut lagi kepada 3.5%, namun tinggi sedikit daripada paras pra-pandemik sebanyak 3.3%. 

 

Pengembangan yang mantap dalam sektor utama serta pembinaan dan perkhidmatan akan meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan pada tahun hadapan,” kata firma tersebut.

 

Tambahnya, tenaga buruh dan pekerjaan diramal meningkat masing-masing sebanyak 1.6% tahun ini.

 

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, bilangan penganggur pada Januari 2023 terus berkurang kepada 596,100 orang dengan mencatatkan sebanyak 3.6% kadar pengangguran.

 

Bilangan tenaga buruh pada Januari 2023 semakin baik, meningkat sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 16.76 juta orang, berbanding 16.73 juta orang pada Disember 2022.

 

Jelasnya, kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan berkenaan kekal pada kadar 69.8%, sama seperti Disember 2022. -DagangNews.com