KUALA LUMPUR 22 April - Jumlah jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi Mac 2022 melonjak 62.5% berbanding bulan sebelumnya, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Peningkatan itu disokong dorongan agresif untuk jualan yang lebih tinggi oleh peruncit automotif, tambahan pula, Mac merupakan bulan bekerja yang lebih panjang.
MAA berkata, jualan bulanan bagi kenderaan penumpang meningkat kepada 65,902 unit pada Mac berbanding 58,498 unit bagi tempoh sama tahun lalu, manakala jualan kenderaan komersial meningkat kepada 7,320 unit daripada 6,440 unit.
Ini meningkatkan jualan kenderaan setakat ini kepada 159,752 unit, meningkat 7.83% daripada 148,155 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
"Bagaimanapun, jumlah pengeluaran kenderaan pada bulan tersebut menurun 3.72% kepada 59,908 unit daripada 62,221 unit bagi tempoh sama 2021.
"Namun, jumlah setakat ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4.81% kepada 154,160 unit, berbanding 147,086 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, MAA percaya, jualan kenderaan pada April akan lebih rendah disebabkan masalah kekurangan cip dan komponen, serta kelewatan penghantaran yang mungkin menjejaskan beberapa syarikat automotif.
"Selain itu, kebanyakan jualan telah pun dipenuhi oleh syarikat tahun kewangannya berakhir pada 31 Mac 2022," katanya. - DagangNews.com








