Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu sasar capai 20,000 pengunjung hingga esok | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu sasar capai 20,000 pengunjung hingga esok

KUALA NERUS 3 Jun - Seramai 20,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keempat yang sedang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri di sini sehingga esok.

 

Pengarah Seksyen Program Strategik Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azlan Johar berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran itu kerana sambutan pada hari pertama sangat menggalakkan.

 

"Jumlah kedatangan pengunjung  semalam ialah seramai 5,659 orang, mengatasi sasaran awal 4,000 orang. Angka itu juga mengatasi jumlah pengunjung hari pertama di Jelajah AKM Sabah baru-baru ini.

 

"Seawal 8.30 pagi tadi juga, pengunjung berpusu-pusu datang ke lokasi untuk mengunjungi reruai pelbagai kementerian, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan dan ini petanda positif bahawa sasaran itu akan tercapai," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

 

Ditanya mengenai tarikan utama pengunjung ke Jelajah AKM kali ini pula, beliau berkata antaranya ialah 110 reruai usahawan tempatan, jualan murah di PJKM, sesi cabutan bertuah, demonstrasi dan pameran sains serta aktiviti yang melibatkan pengunjung di reruai kementerian.

 

"Antara yang terhangat ialah reruai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

"Saya harap penduduk Terengganu dapat meluangkan masa ke sini dan menikmati kemudahan yang disediakan agensi kerajaan untuk apa sahaja permasalahan, perancangan dan pertanyaan yang ingin dilontarkan," katanya. - DagangNews.com