Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peluang rakyat adu masalah, kemukakan cadangan kepada kerajaan | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peluang rakyat adu masalah, kemukakan cadangan kepada kerajaan

Maskot Omar dan Hana di reruai K-KOMM menceriakan kanak-kanak yang hadir ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan
Oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 24 Julai - Penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keenam di Kelantan yang bermula sejak Jumaat lepas diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk mendengar maklum balas dan permasalahan dihadapi rakyat bagi dijadikan asas dalam membentuk strategi menyalurkan bantuan pada masa akan datang.

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Mastura Ahmad Mustafa berkata, semua aduan mahupun cadangan dan idea baharu yang diluahkan rakyat sangat diambil berat oleh kerajaan dalam penganjuran Jelajah AKM.

 

"Semua penjawat awam di 26 kementerian yang turun padang pada Jelajah AKM di Kota Bharu ini sedia mendengar suara hati rakyat...malah dalam sesi hebahan di kaca televisyen, radio mahupun media sosial sering kita katakan agar rakyat Kelantan mengambil peluang ini datang ke setiap kementerian berkaitan untuk menyelesaikan urusan atau mendapatkan informasi yang berkaitan diri mereka.

 

"Dalam Jelajah AKM kali ini, kami (penjawat awam) cuba sedaya upaya untuk merapatkan diri sedekat mungkin dengan rakyat dan pastinya kami harap rakyat juga mengambil kesempatan ini untuk mengenali kami berkongsi masalah agar bantuan dapat disalurkan mengikut keperluan sebenar.

 

"Seperti yang kami janjikan, setiap pengunjung yang datang tidak akan pulang dengan tangan kosong...pasti ada sesuatu sama ada informasi maklumat bantuan kerajaan, mendapatkan perkhidmatan dan produk dengan tawaran harga berpatutan, cenderahati (goodies) dari reruai agensi dan jabatan kerajaan yang dilawati malah berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

 

"Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian saya sepanjang Jelajah AKM ini berlangsung selama dua hari, rakyat Kelantan sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang dibawa kerajaan untuk mereka di sini," katanya kepada DagangNews.com, di sini hari ini.

 

Antara acara menarik yang disediakan sepanjang Jelajah AKM Kelantan berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV ialah Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Program Jualan Keluarga Malaysia, persembahan kebudayaan terkenal dari beberapa negeri, sukan rakyat tradisional, bekwoh (kenduri rakyat) dan pertandingan Muay Thai.

 

 

AKM
Mastura Ahmad Mustafa

 

 

Mengulas lanjut, Mastura berkata, Jelajah AKM adalah platform terbaik untuk memudahkan rakyat mendapatkan maklumat, perkhidmatan, peluang pekerjaan serta bantuan dan inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan. 

 

Lebih istimewa, beliau berkata, Jelajah AKM di Kelantan juga diisi dengan banyak program kerohanian, majlis ilmu dan pendidikan selaras imej negeri itu yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah.

 

"Ini bukti keprihatinan dan kecaknaan kerajaan kepada rakyat dalam menjayakan pemulihan dan memperkukuh ekonomi dalam kehidupan harian selaras langkah Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19.

 

 

AKM
Pengunjung yang hadir di reruai K-KOMM di Jelajah AKM Kelantan

 

 

"Kita lihat pengunjung yang hadir ke sini teruja dan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan, membeli produk dan barangan keperluan harian pada harga murah serta turut terlibat dalam pelbagai aktiviti yang menarik. 

 

"Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke majlis perasmian yang berlangsung semalam juga mendapat sambutan hangat dari rakyat Kelantan malah pengumumannya mengenai projek-projek pembangunan dan bantuan itu bakal memberi manfaat secara langsung untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat negeri ini," katanya.

 

Selaku kementerian peneraju dalam Jelajah AKM kali ini, pelbagai tawaran menarik disediakan di reruai K-KOMM untuk pengunjung antaranya Geran Digital Perniagaan, inisiatif PRIME yang merangkumi pakej website builder, domain .MY, SSL untuk satu tahun dan latihan pemasaran digital MYNIC yang memberi kemudahan khusus kepada pemilik perniagaan warganegara Malaysia.

 

 

AKM
Permainan video yang disediakan di reruai K-KOMM turut menarik perhatian kanak-kanak dan remaja yang berkunjung ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan

 

 

Selain itu, pengunjung juga didedahkan mengenai CyberSAFE Quest yang dirintis CyberSecurity Malaysia untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan siber serta dari syarikat telekomunikasi pula iaitu Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia yang menawarkan penjimatan hebat untuk pengguna.

 

Jelajah AKM edisi Kelantan ini membawakan tema Keluarga Malaysia Keluarga Digital selaras hasrat kerajaan dalam usaha pendigitalan negara kerana rakyat Malaysia akan mula menikmati perkhidmatan rangkaian 5G secara berperingkat selewat-lewatnya September depan.

 

Tambahnya, tema itu diketengahkan oleh K-KOMM dalam Jelajah AKM Kelantan bagi memberi pendedahan dan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan pelbagai pengetahuan, maklumat, perkhidmatan, produk dan aktiviti yang berasaskan digital  yang pastinya memberi impak serta manfaat secara terus kepada rakyat. - DagangNews.com