KUALA LUMPUR 21 Nov - Isu-isu rakyat dan ketidakpastian tarikh pembentangan semula Bajet 2023, menjadikan jawatan Menteri Kewangan sebagai tumpuan utama dalam pembentukan kerajaan baharu.
Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu, tidak sempat diluluskan memandangkan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada mana-mana parti politik berjaya membentuk kerajaan.
Menurut RHB Research, tiada kepastian bagi garis masa untuk pembentangan semula Bajet 2023, yang sepatutnya dibentangkan menjelang Disember 2022 berikutan terdapat kemungkinan perubahan dalam gabungan pemerintah dan bergantung kepada tempoh pembentukan Kabinet.
"Berdasarkan perkembangan terkini, risiko lebih cenderung ke arah kelewatan pembentangan semula Bajet 2023 berikutan pemilihan kerajaan baharu.
"Oleh itu, kami sentiasa berwaspada terhadap calon yang berpotensi untuk mengisi jawatan menteri kewangan ini," katanya dalam nota kajian bertarikh 20 November 2022.
Jawatan tersebut sebelum ini disandang Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, tetapi beliau gagal memenangi kerusi Parlimen di Kuala Selangor, setelah bertanding buat kali pertama atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15, Sabtu lalu.
Beliau memperoleh sebanyak 30,031 manakala penyandangnya, Datuk Seri Dr Dzulkifli Ahmad dari Pakatan Harapan menang tipis dengan kelebihan 1,002 undi selepas memperoleh sebanyak 31,033
Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020 selepas dilantik sebagai senator dan meneruskan jawatan yang sama apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2021.
Dengan berstatus senator, yang tempohnya tidak terjejas oleh pembubaran Parlimen, dilantik dalam tempoh tiga tahun untuk maksimum dua penggal di Malaysia.
PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.
BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.
RHB Research berkata, keputusan PRU15 mencetuskan ketidaktentuan mengenai garis masa pembentangan semula Bajet 2023 tetapi pemindahan tunai dan penyatuan fiskal secara beransur-ansur akan kekal dalam agenda mana-mana gabungan parti politik yang akan mengambil alih pentadbiran kerajaan.
"Walau apapun hasilnya, langkah 'berorientasikan rakyat' dan penyatuan fiskal secara beransur-ansur akan kekal sebagai keutamaan utama bagi kerajaan baharu.
"Pemindahan tunai dan jenis bantuan lain kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana berkemungkinan akan diteruskan," jelasnya.
Menurutnya, ejen ekonomi dan peserta pasaran kewangan berkemungkinan besar mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam tempoh terdekat sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.
"Walaupun ini adalah kali pertama berlakunya 'Parlimen tergantung' daripada 15 pilihan raya umum sebelum ini, kami melihat bahawa ia mungkin bukan kali terakhir bahawa tiada gabungan memenangi majoriti mudah, kerana landskap politik Malaysia beralih daripada dua gabungan lama kepada format berbilang gabungan," jelasnya.
Firma itu berkata, meskipun prospek politik yang tidak menentu, asas ekonomi Malaysia masih kekal teguh menjelang 2023.
Ia mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 sebanyak 7% tahun ke tahun diikuti 4.5% pada 2023. - DagangNews.com








