Jabatan Penerangan Melaka promosi Jelajah AKM melalui media sosial, WhatsApp Group | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jabatan Penerangan Melaka promosi Jelajah AKM melalui media sosial, WhatsApp Group

MELAKA 12 Okt - Platform media sosial akan digunakan sepenuhnya sebagai jambatan mempromosikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Melaka yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 Oktober ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini. 

 

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Malaysia Negeri Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, ini termasuklah menggunakan 'WhatsApp Group' memandangkan aplikasi itu cara paling praktikal dan mesra masyarakat dalam penyampaian maklumat. 

 

“Bermula semalam, Japen Melaka telah menggerakkan semua platform media sosialnya termasuk WhatsApp Group yang akan melibatkan rakan strategik Japen termasuk 84 komuniti Keluarga Malaysia yang ada di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Menara Persekutuan.

 

Beliau berkata, menerusi kaedah berkenaan, setiap lapisan masyarakat akan mendapat maklumat mengenai Jelajah AKM dan WhatsApp Group itu akan dikendalikan oleh pegawai Japen bagi memastikan semua maklumat tidak disalahgunakan mana-mana pihak. 

 

Bagi media sosial pula, Shahrom berkata maklumat akan disampaikan melalui pelbagai video pendek dan infografik untuk memudahkan rakyat mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan, lapor Bernama.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, program Info On Wheels (IOW) Jelajah AKM turut dilaksanakan di ketiga-tiga daerah di negeri ini dengan menyasarkan lokasi-lokasi strategik yang telah dikenal pasti seperti kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta tempat tumpuan orang ramai. 

 

 

AKM

 

 

“Objektif kita ialah mahu masyarakat mendapat maklumat mengenai program diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi yang menyertainya,” katanya. - DagangNews.com