KUALA LUMPUR 7 April - Hong Leong Investment Bank positif terhadap kontrak lanjutan bernilai sekitar RM52.8 juta yang telah diperoleh ITMAX System Berhad daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kontrak tersebut adalah untuk pemasangan dan penyelenggaraan sistem lampu jalan berangkaian di KL selama tiga tahun lagi, bermula Ogos 2023 hingga Julai 2026.
Kemenangan kontrak pertama selepas tawaran awam permulaan (IPO) itu disambut baik memandangkan sumbangan daripada perniagaan pemasangan dan penyelenggaraan sistem lampu jalan ini akan dikekalkan dalam beberapa tahun akan datang, menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Firma itu menambah, penambahan pemasangan lampu jalan akan membawa kepada sumbangan tinggi dalam penyelenggaraan pada masa hadapan dan kemenangan kontrak ini selepas Pilihan Raya Umum ke-15 mengurangkan kebimbangan politik atau kawal selia pada tahap tertentu.
Di samping itu, buku pesanan sihat akan kekal pada pertengahan penggal, di mana syarikat tersebut telah mempunyai 19 kontrak berterusan sehingga November 2022.
Ini memberikannya jumlah buku pesanan belum dibilkan sebanyak RM598.2 juta yang terdiri daripada penyediaan kemudahan rangkaian pengawasan video untuk lokap DBKL dan PDRM, pajakan menara telekomunikasi dan ekakutub serta pembekalan dan pemasangan sistem rangkaian.
“Baki bahagian buku pesanannya akan diiktiraf secara berperingkat sehingga Disember 2029, manakala buku tender ITMAX System berjumlah RM600 juta hingga 800 juta pada akhir suku ketiga tahun 2022 (3Q22),” katanya.
Menurut firma itu, ITMAX System yakin dengan berhati-hati bahawa prospek masa depannya kekal menggalakkan memandangkan syarikat itu sedang mencari untuk meneruskan pertumbuhannya dengan mengembangkan tawaran perkhidmatannya dan berkembang ke wilayah dan segmen geografi lain.
HLIB juga tidak mengubah unjuran pendapatan yang dibuat pada 28 Februari 2023 bagi FY23-24 yang masing-masing meningkat sebanyak 4% dan 6%.
Oleh itu, firma tersebut mengulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.80 sesaham, disandarkan kepada 25 kali gandaan PE bagi pendapatan FY24.
Setakat pukul 12:38 tengahari 7 April 2023, saham ITMAX System menokok 1 sen atau 0.7% kepada RM 1.47 sesaham, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM1.51 bilion. -DagangNews.com








