KUALA LUMPUR 20 Nov - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno baharu bagi menggantikan Shahril Sufian Hamdan, berkuat kuasa hari ini.
Isham menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau dimaklumkan mengenai pelantikan itu menerusi panggilan telefon oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.
"Saya baru dimaklumkan sebentar tadi melalui telefon oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Ahmad Maslan susulan daripada perletakan jawatan Encik Shahril Hamdan dan perbincangan di antara kepimpinan tertinggi parti, saya telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia berkuatkuasa hari ini.
"Surat rasmi telahpun ditandatangani oleh kepimpinan parti. Saya ucapkan terima kasih ke atas perlantikan ini dan ke atas kepercayaan parti terhadap saya. Saya akan memegang amanah ini dengan sebaiknya," katanya.
Terdahulu, Shahril meletakkan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Umno hari ini dan menggesa Presiden, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat ekoran kekalahan teruk parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Isham mencadangkan supaya blok Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang pada kali ini supaya boleh menyemak imbang kerajaan dan tidak menyertai mana-mana gabungan kerajaan campuran.
"Rakyat telah memilih kita sebagai pembangkang, kita perlu hormati kemahuan rakyat tersebut.
"Semasa 22 bulan kita menjadi pembangkang selepas PRU14 dahulu, rakyat telah kembali menyokong kita, namun sokongan dan kepercayaan tersebut telah terhakis apabila kita membentuk kerajaan campuran selepas Langkah Sheraton.
"Kini sebagai pembangkang, kita dalam Umno dan BN boleh bina semula kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap kita berbanding jika kita menjadi kerajaan pada masa ini. Kita perlu berani menjadi pembangkang yang kuat," katanya. - DagangNews.com








