Inovasi putu bilis, kurita tarikan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inovasi putu bilis, kurita tarikan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sabah

Pengunjung tidak melepaskan peluang merasai keenakan putu bilis dan kurita di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 20 Mei - Makanan tradisi masyarakat Bajau Semporna, ‘Putu’ yang diperbuat daripada ubi kayu sememangnya kurang diketahui umum.

 

Namun itu tidak menjadi penghalang buat Muhammad Shah Abd Salam, 37, untuk melakukan ‘pengubahsuaian’ agar ia mampu masuk ke pasaran semasa.

 

Menurutnya, kebiasaannya putu di makan secara asing bersama ikan bakar namun kali ini, makanan tradisional berkenaan diletakkan inti ikan bilis ataupun kurita.

 

“Sekarang ini, makanan putu yang baharu ini sudah mendapat sambutan amat menggalakkan. Malah, ramai juga usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang cuba memperbaharui makanan tradisional masing-masing.

 

“Makanan putu ini kebiasaannya lebih digemari orang tua dan disebabkan itu, dia melakukan penambahbaikan agar diminati orang muda dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

 

Muhammad Shah berkata, dia pernah menerima tempahan dari Semenanjung Malaysia tetapi tidak dapat membuat penghantaran. 

 

Katanya, ia disebabkan produk makanan itu perlu dimakan ketika panas dan tempoh ketahanannya juga tidak lama.

 

 

AKM
Muhammad Shah Abd Salam

 

 

“Oleh itu, saya lebih menumpukan kepada permintaan di negeri ini untuk penghantaran secara ‘cash on delivery’ (COD).

 

“Alhamdullilah, sehingga kini sambutan amat menggalakkan dan permintaan juga masih tinggi sehingga mencecah 50 tempahan setiap hari,” katanya. - DagangNews.com