KUALA LUMPUR 28 April - Syarikat perladangan sawit hiliran di Malaysia dijangka meraih manfaat daripada larangan eksport Indonesia terhadap semua minyak sawit berkuat kuasa 28 April 2022.
Indonesia mengambil keputusan membatalkan sekatan terhadap eksport olein sawit (RBD) yang dibuat baru-baru ini, sebaliknya memutuskan untuk menyekat semua eksport minyak sawit termasuk minyak sawit mentah (MSM), minyak sawit bertapis dan minyak masak terpakai.
Ini membolehkan RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan memberi saranan 'beli' terhadap Sarawak Oil Palms Bhd. dan Ta Ann Holdings Bhd.
Penganalisis RHB Research, Hoe Lee Leng berkata, pemain hiliran di Malaysia yang tidak mempunyai pendedahan di Indonesia akan mendapat manfaat daripada langkah terbaharu itu, ekoran kurangnya persaingan dari negara tersebut.
"Kami percaya, syarikat perladangan tulen dengan memiliki keupayaan hiliran di Malaysia akan mendapat manfaat daripada keputusan kerajaan Indonesia. Ini termasuklah Sarawak Oil Palms, IOI Corp. Bhd. dan Genting Plantations Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut beliau, larangan terbaharu itu kemungkinan akan melonjakkan lagi harga minyak sayur-sayuran dan minyak sawit, walaupun ia akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pasaran.
Katanya, ia juga akan memburukkan tekanan inflasi, dan seterusnya menggalakkan aktiviti penyimpanan stok minyak sawit.
"Dengan langkah ini, nampaknya kerajaan Indonesia mendapati beberapa syarikat penapisan tidak mematuhi garis panduan dan cuba memintas larangan sebelum ini dengan mengeksport keluar produk lain seperti MSM dan minyak sawit RBD.
"Susulan pendirian tegas ini, kerajaan sebenarnya telah bertindak terhadap syarikat penapisan yang bersalah dengan menghukum keseluruhan industri perladangan Indonesia.
"Perlu diingatkan, bahawa Indonesia mengeluarkan 46 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun, dengan 27 juta tan metrik adalah untuk dieksport," jelasnya.
Beliau percaya akan terdapat perubahan ketara dalam mekanisme bekalan-permintaan di negara tersebut, menyebabkan bekalan domestik MSM menjadi banyak, menurunkan harga MSM di peringkat domestik, sekali gus membolehkan syarikat hiliran memilih bekalan MSM pada harga rendah.
Jelasnya, pemain hiliran di Indonesia masih boleh mencabar keputusan ini dengan menahan stok minyak ditapis mereka untuk mendapat manfaat daripada harga yang lebih tinggi, jika dan apabila kerajaan menarik balik larangan berkenaan.
"Minyak bertapis boleh disimpan selama 6 hingga 8 bulan tanpa menjejaskan kualiti dan selepas pembungkusan, ia boleh disimpan bagi tempoh 12 hingga 18 bulan.
"Bagaimanapun, dengan berbuat demikian boleh mengundang lebih banyak kemarahan daripada kerajaan Indonesia dan mungkin menyaksikan lebih banyak tindakan keras dilaksanakan," katanya. - DagangNews.com








