KUALA LUMPUR 25 Julai - Harga minyak sawit mentah dijangka kekal lemah pada suku ketiga 2022 dengan diunjur berlegar sekitar RM4,800 hingga RM5,200 satu tan metrik.
Ini berikutan langkah terbaharu Indonesia membatalkan levi eksport untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos 2022 dalam usaha negara itu meningkatkan eksport komoditi dan mengurangkan inventori yang tinggi, secara tidak langsung akan terus menekan harga minyak sawit mentah.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, Malaysia tidak dapat mengelak tekanan ke atas harga minyak sawit mentah memandangkan negara sedang berhadapan dengan saingan yang kuat daripada Indonesia yang merupakan negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia.
Indonesia kini katanya, sedang giat berusaha 'membersihkan' sebanyak mungkin tangki simpanan bekalan minyak sawit mereka.
"Harga purata minyak sawit mentah bagi suku ketiga 2022 diunjurkan antara RM4,800 hingga RM5,200 dan untuk rekod, harga harian CPO menyusut kepada RM3,631.50 setiap tan atau 24.9% pada 15 Julai 2022 daripada RM4,838.50 setiap tan pada 1 Julai 2022.
"Harga minyak sawit mentah yang rendah dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya harga minyak kacang soya (SBO) yang lebih lemah disebabkan kurangnya pengeluaran oleh negara-negara pengeluar utama berikutan faktor cuaca.
"Kedua, eksport minyak sawit yang lebih rendah pada Jun 2022 berikutan saingan Indonesia yang melonggarkan larangan eksport untuk menggalakkan penghantaran keluar komoditi berkenaan dalam usahanya mengurangkan inventori yang tinggi di negara itu.

"Ketiga, peningkatan bekalan minyak sayuran dunia susulan keputusan Indonesia melonggarkan larangan eksport minyak sawitnya, dan pengeluaran harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi pada Jun 2022 selaras dengan pusingan musim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zuraida berkata, melihat sudut positif, sebaik berakhir Ogos 2022 Indonesia akan melaksanakan semula larangan eksport minyak sawitnya bermula 1 September 2022, bersama jangkaan pengeluaran minyak sawit menyusut pada suku keempat 2022, harga minyak sawit mentah bagi suku terakhir tahun ini diunjur kuat boleh menokok kepada antara RM5,000 hingga RM5,500 setiap tan.
Beliau berkata, harga minyak sawit mentah meningkat sebanyak 55.9% kepada RM6,330.00 setiap tan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 daripada RM4,061.50 setiap tan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
"Harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dipengaruhi harga SBO yang lebih tinggi di pasaran global. Harga minyak sawit juga dipengaruhi prestasi harga minyak sayuran lain, khususnya SBO kerana kedua-dua hasil tani ladang ini bersaing dalam pasaran minyak sayuran dunia.
"Selain itu, stok simpanan minyak sawit kekal pada tahap terurus di bawah 2.0 juta tan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022. Harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh di pasaran global menjadikan minyak sawit pilihan lebih menarik untuk bahan mentah biodiesel dan kebimbangan mengenai gangguan ke atas bekalan minyak sayuran dari wilayah Laut Hitam susulan pencerobohan Rusia di Ukraine," katanya.
Dari tempoh Jun 2020 katanya, harga minyak sawit mentah mula menunjukkan trend peningkatan, malah antara Januari 2021 hingga Jun 2022 sahaja, harga minyak sawit mentah telah beberapa kali melonjak melampaui rekod harga tertinggi pernah dicatatkan sebelum itu.
Katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) giat memantau perkembangan industri sawit dan akan terus memastikan minyak sawit Malaysia terus kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi untuk manfaat semua, terutamanya pekebun-pekebun kecil dan pemain-pemain industri negara.
"Saya sendiri telah mengetuai pelbagai misi dagangan ke beberapa negara dan bertemu pemain-pemain industri di sana untuk memberi penjelasan dan meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai pelbagai manfaat dan kegunaan minyak sawit, selain digunakan sebagai minyak masak.
"Bukan itu sahaja, kementerian menerusi agensi dan majlis di bawahnya turut mengadakan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) bermula 26 hingga 28 Julai 2022 di MITEC, Kuala Lumpur yang akan melibatkan penyertaan dari 39 buah negara.
"Ia juga merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan sektor agrikomoditi negara, sekaligus dapat mempromosikan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi aktiviti agrikomoditi," katanya.
Tambahnya, KPPK akan terus melaksanakan pelbagai kempen dan program-program di seluruh dunia untuk mempromosi penggunaan minyak sawit dan memainkan peranan utama di peringkat global untuk menyebarkan kebaikan-kebaikan serta manfaat-manfaat minyak sawit.
"KPPK juga tidak akan berhenti berusaha menyanggah dan memperbetulkan sebarang salah tanggapan yang disebar untuk memburukkan kebaikan minyak sawit melalui kempen-kempen antiminyak sawit yang digerakkan pihak-pihak tertentu," katanya. - DagangNews.com








