KUALA LUMPUR 9 Jun - Ikano Centres mengumumkan pembukaan dua penambahan penting yang dinanti-nantikan di Klippa, yang terletak di kawasan perbandaran Batu Kawan yang semakin berkembang di Pulau Pinang.
Menyertai penawaran perniagaan pusat beli-belah itu adalah stesen minyak Caltex dan Decathlon yang akan mengembangkan lagi kepelbagaian kemudahan penting kepada keperluan masyarakat di kawasan tersebut.
Pengerusi Negara Chevron Malaysia Limited, Dean Gilbert berkata, pihaknya teruja untuk menjadi sebahagian daripada komuniti baharu di Batu Kawan dan berhasrat memberikan khidmat kepada para penduduk sepenuh masa 24/7.
"Lokasi ini akan menjadi stesen kami yang ketiga di Batu Kawan, melengkapi stesen pertama dan kedua yang pada masa ini sedang dalam pembinaan dan dijangka dibuka pada tahun depan.
"Matlamat kami bukan sahaja untuk menawarkan perkhidmatan stesen minyak dan kemudahan runcit tetapi juga menyediakan penyelesaian destinasi sehenti yang selesa dan mudah diakses para penduduk dan masyarakat sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Pusat Beli-Belah Ikano Centres, Adrian Mirea berkata, bersama-sama IKEA Batu Kawan, pihaknya berasa teruja untuk mencetuskan pengalaman beli-belah yang dinamik dan berorientasikan pelanggan bagi masyarakat Pulau Pinang.
"Matlamat utama kami adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat yang terus berubah dan menjadikan Klippa sebagai hab komersial dan istirahat yang sentiasa dikunjungi bagi komuniti Batu Kawan yang semakin berkembang," katanya.

Sementara itu, Stesen Caltex bakal menampilkan pelbagai komponen runcit, termasuk dua kedai serbaneka, sebuah farmasi dan juga sebuah pandu lalu Starbucks, kesemuanya dijadualkan dibuka pada suku pertama 2024.
Pembukaan Decathlon di Klippa yang dijadualkan pada separuh kedua 2024 akan menawarkan pelbagai barangan dan kelengkapan sukan untuk memenuhi keperluan penggemar sukan dan masyarakat sekitar Pulau Pinang.
Ia akan menjadi Decathlon yang ketiga dalam portfolio Ikano Centres selepas kejayaan pembukaannya di Pusat Beli-Belah MyTOWN dan Pusat Beli-Belah Toppen.

Di samping itu, Klippa baru-baru ini meraikan kehadiran beberapa jenama baharu, dengan jumlah keluasan lantai kasar (GFA) kepada 675,000 kaki persegi. Antara jenama tersebut termasuklah TMG Plus oleh Kumpulan Tunas Manja, peruncit barangan runcit yang menawarkan perkhidmatan tambahan seperti pembeli-belah peribadi, penghantaran ke rumah dan perkhidmatan pandu lalu.
Jenama lain yang telah dibuka termasuklah Mr DIY Plus dan jenama anak syarikat mereka, Mr Dollar dan Mr Toys, Guardian, Dr Specs, dan pelbagai tempat makan seperti Kejap Foods, CMR Express Restaurant, Zus Coffee, Chicago Chicken City, XiXiang Kaya Kopitiam dan lain-lain.
Tambahan pula, jenama terkenal seperti Kenny Rogers, Coffee Bean & Tea Leaf, dan A&W telah diperkenalkan kepada konsep pandu lalu makanan dan minuman (F&B) Klippa yang unik, sekali gus menawarkan pengalaman kulinari yang pelbagai mengikut keselesaan pelanggan. - DagangNews.com








