HSS Engineers sedia perkhidmatan BIM bagi pembangunan bercampur Menara Oxley | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers sedia perkhidmatan BIM bagi pembangunan bercampur Menara Oxley

KUALA LUMPUR 23 Mei - HSS Engineers Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, BIM Global Ventures Sdn. Bhd. (BGV) telah menerima surat anugerah daripada BUCG (M) Sdn. Bhd. (BUCG) untuk menyediakan perkhidmatan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi projek pembangunan bercampur Menara Oxley.

 

BGV akan menyediakan perkhidmatan pakar BIM merangkumi Permodelan 3D, Kerja Penyelarasan, penyerahan bulanan model 3D terbina untuk penilaian Interim dan Simulasi Kemajuan Pembinaan 4D untuk kerja bangunan utama mengikut lukisan reka bentuk dan keperluan struktur Perunding.

 

Pengarah Eksekutif HSS Engineers, Ir Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah berkata, sebagai pemain perintis dalam perkhidmatan pakar BIM di Malaysia, kumpulan telah melihat peningkatan penggunaan teknologi inovatif ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

Katanya, trend ini terutamanya untuk syarikat besar dan pemain antarabangsa, yang mana kecekapan projek dari segi kemajuan pembinaan, kos dan garis masa adalah amat penting.

 

"Kami gembira dapat memainkan peranan penting dalam membantu BUCG sebagai pelanggan baharu kami untuk mencapai objektifnya untuk pembangunan pusat bandar berprofil tinggi ini, yang akan berdiri tegak di latar langit Kuala Lumpur dan menampilkan pelaburan asing yang besar.

 

"Surat anugerah ini mengukuhkan lagi reputasi kami sebagai perunding perkhidmatan kejuruteraan yang progresif dari segi teknologi yang mampu menyokong kemajuan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menara Oxley ialah projek pembangunan bercampur di Jalan Ampang, Kuala Lumpur terdiri daripada 3 menara tinggi dengan masing-masing setinggi 78, 49 dan 30 tingkat, merangkumi blok pejabat, hotel dan suite perkhidmatan.

 

BIM mengubah proses pengurusan pembinaan, menggunakan sistem simulasi 3D dan komputer pintar untuk membolehkan reka bentuk kerjasama dengan menyepadukan input daripada pelbagai peserta projek – termasuk pembina, pemilik, arkitek, jurutera struktur dan jurutera sistem mekanikal, elektrik dan paip. 

 

Oleh itu, BIM menyokong proses seperti pengurusan pembinaan, pengurusan kos, pengurusan projek dan operasi.

 

Dengan nilai kontrak berjumlah RM1 juta bagi tempoh selama 20 bulan mulai 14 Mac 2022 hingga 30 November 2023, ia akan menyumbang secara positif kepada kumpulan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. - DagangNews.com