Ho Chi Minh jadi lokasi pilihan pembangunan pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ho Chi Minh jadi lokasi pilihan pembangunan pusat data

HO CHI MINH 13 Feb - Bandar Ho Chi Minh tersenarai antara pasaran terbaik dalam kategori harga tanah untuk pembangunan pusat data, kata pakar, menurut laporan Viet Nam News dan Asia News Network (ANN).

 

Memetik laporan tahunan Cushman and Wakefield, syarikat itu berkata terdapat banyak pasaran terbesar di Asia Pasifik yang mempunyai kos tanah yang tinggi, namun hanya Ho Chi Minh berada di kedudukan 10 teratas untuk kategori harga tanah.

 

Pasaran yang turut tersenarai di dalam kategori itu adalah Columbus, Santiago, Johannesburg, Atlanta, Nashville, Phoenix, Austin, Denver dan Chicago.

 

Laporan tersebut menyenaraikan pasaran pusat data utama di seluruh dunia mengikut 13 kategori wajaran, termasuk saiz pasaran, ketersambungan gentian, kos kuasa dan risiko alam sekitar, untuk menentukan pasaran terbaik secara keseluruhan serta pasaran berprestasi terbaik dalam setiap kategori.

 

Menurut laporan terkini pasaran suku keempat 2022 untuk bandar Ho Chi Minh, harga sewa purata mencecah AS$159 (RM689) setiap meter persegi bagi setiap kitaran pajakan iaitu peningkatan sehingga 3% suku ke suku (QoQ) dan 10% tahun ke tahun (YoY).

 

“Vietnam mungkin merupakan pasaran pusat data sempadan pada masa ini tetapi ia mempunyai banyak asas yang menunjukkan potensi besar untuk pembangunan pada masa hadapan.

 

Negara itu pada masa ini mempunyai 70% penembusan internet dengan anggaran 29 juta orang masih belum mempunyai keterhubungan dalam talian,” tambahnya.

 

Sejumlah lebih 48% kapasiti Vietnam terletak di tengah-tengah bandar Ho Chi Minh namun pada masa ini, hanya sebilangan kecil syarikat multinasional memerlukan kapasiti peringkat tinggi.

 

Selain itu, pengendali antarabangsa menggunakan pendekatan biasa iaitu bekerjasama dengan pengendali telekomunikasi tempatan.

 

Terdapat kekurangan yang agak besar pada infrastruktur sedia ada dibandingkan dengan populasi pasaran dan permintaan untuk perkhidmatan internet. 

 

“Ini mewakili peluang besar di peringkat penyediaan kandungan dan penubuhan infrastruktur,” menurut laporan tersebut yang optimis terhadap pembangunan pusat data di Ho Chi Minh.

 

Cush & Walkfield berkata, selatan Ho Chi Minh lebih disukai sebagai hab untuk pusat data, terutamanya untuk penyedia platform perkhidmatan awan disebabkan isu kependaman dan menjamin tenaga kerja.

 

Sementara itu, CMC Telecom, penyedia perkhidmatan internet negara itu, telah membuka Pusat Data Tan Thuan yang direka oleh B-Barcelona dari Singapura pada Ogos tahun lalu dengan keluasan keseluruhan 13,133 meter persegi dan menurut CMC, 30% daripadanya telah dipajak sebelum pelancaran.

 

Firma pusat data Australia, Edge Centers telah berkembang ke Asia dengan penempatan pusat data pertamanya, EC51, di bandar Ho Chi Minh dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Vietnam dan merancang untuk menambah tapak pinggiran di bandar itu.

 

GAW Capital memperoleh tanah yang belum dibangunkan di Sai Gon Hi-Tech Park di bandar itu yang dirancang untuk pembangunan pusat data yang dijangka melebihi 18,000 meter persegi dan menyokong kapasiti 20 megawatt.

 

Viettel, sebuah syarikat telekomunikasi Vietnam, mengumumkan rancangan untuk membina pusat data baharu dengan pelaburan AS$260 juta (RM1.13 bilion). – DagangNews.com