HLIB turunkan penarafan Inari Amertron kepada 'pegang' dengan TP lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB turunkan penarafan Inari Amertron kepada 'pegang' dengan TP lebih rendah

KUALA LUMPUR 18 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menurunkan penarafan Inari Amertron Bhd. kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM2.48 berbanding RM3.24 sesaham sebelum ini. 

 

Ini berikutan kumpulan merekodkan hasil yang lebih lemah daripada jangkaan pada suku pertama berakhir 30 September 2022. 

 

Bagi tempoh itu, untung bersihnya mendatar pada RM106.25 juta berbanding RM106.93 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dalam keadaan volum pemuatan yang agak rendah diimbangi oleh pergerakan pertukaran asing yang menggalakkan.

 

Pada masa sama, pendapatannya bagi suku pertama itu susut 12.55% kepada RM377 juta daripada RM431.12 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Sejajar dengan semakan TP itu, HLIB menyemak turun keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23), FY24 dan FY24 masing-masing sebanyak 11%, 20% dan 29%.

 

"Namun, kami percaya kitaran 'super' iPhone 5G akan diteruskan, manakala bahagian optoelektronik dijangka bertambah baik dengan kepelbagaian pelanggan dan lebih banyak kerjasama, manakala risiko dan ganjaran adalah seimbang buat masa ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Susulan ketidaktentuan ekonomi global yang timbul daripada inflasi, konflik dan gangguan rantaian bekalan akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Inari berhati-hati dengan pertumbuhan dalam perniagaan frekuensi radio dan optoelektroniknya yang berulang untuk sepanjang FY23.

 

Kumpulan sedang meninjau peluang baharu dalam ekosistem pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar Malaysia, di samping membawa usaha sama China baharunya di Yiwu untuk memulakan pengeluaran pada separuh kedua FY24. - DagangNews.com