HLIB naikkan TP Sime Darby Plantation kepada RM6.06 dengan saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB naikkan TP Sime Darby Plantation kepada RM6.06 dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak semula unjuran keuntungan bersih teras Sime Darby Plantation Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 24% selepas mengambil kira harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi. 

 

Ia turut menyaksikan unjuran FY23 dan FY24 juga masing-masing disemak lebih tinggi sebanyak 26.5% dan 20.2%.

 

Ia sejajar dengan semakan semula firma itu terhadap harga minyak sawit mentah yang dijangka berlegar pada paras lebih tinggi sekitar RM5,500 satu tan metrik pada FY22 diikuti RM4,500 bagi FY23 dan FY24.

 

"Semakan semula unjuran keuntungan bersih teras itu turut mengambil kira anggaran kos pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih  tinggi bagi segmen huluan dan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah pada FY22," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, Sime Darby Plantation merekodkan untung bersih sebanyak RM718 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1), meningkat 27.8% daripada RM562 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Baca : Harga sawit lonjak hasil, untung bersih Sime Darby Plantation pada Q1

 

Hasil bagi tempoh itu turut meningkat 19% kepada RM4.38 bilion berbanding RM3.67 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan harga minyak sawit mentah dan isirung kekal memberangsangkan. 

 

Pada masa sama, kumpulan juga mengalami penurunan BTS daripada ladang di Indonesia apabila pengeluaran kembali normal daripada paras tinggi yang direkodkan pada suku pertama 2021.

 

Selaras dengan semakan semula unjuran terhadap Sime Darby Plantation, HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM6.06 berbanding RM5.95 sebelum ini. 

 

Menurutnya, Sime Darby Plantation masih kekal menjadi pilihan utamanya bagi sektor perladangan, disebabkan manfaat operasi yang tinggi kepada harga minyak sawit mentah.

 

"Selain itu, langkah proaktifnya untuk menangani isu larangan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) mungkin akan membuka jalan untuk mengurangkan kebimbangan terhadap amalan sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kami juga memahami bahawa penemuan audit oleh Impactt akan diterbitkan setelah disemak oleh CBP AS," jelasnya.

 

Setakat 10.36 pagi ini, harga sahamnya susut 11 sen atau 2.12% kepada RM5.07 dengan 904,300 saham diniagakan. - DagangNews.com