KUALA LUMPUR 5 Jan - Permintaan tenaga dijangka berterusan sehingga 2023 seiring dengan tumpuan kerajaan dalam memulihkan ekonomi selepas beralih kepada fasa endemik, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor utiliti dengan mengambil kira kemampanan pendapatan dan dividen sektor tersebut.
Penganalisisnya, Daniel Wong berkata, sektor itu sebahagian besarnya dilindungi di bawah mekanisme pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) dan kontrak jangka panjang untuk melindungi pemain daripada kos tenaga bahan api yang tidak menentu.
"Kami percaya kerajaan perpaduan akan kekal komited ke arah mekanisme ICPT, bagi mengekalkan keyakinan pelabur domestik dan asing terhadap keseluruhan dasar kerajaan.
"Mekanisme ini secara amnya melindungi pelaburan modal yang komited daripada ketidaktentuan kos tenaga bahan api global dan memberikan pulangan yang adil dan stabil kepada pemegang saham modal untuk memastikan pelaburan modal jangka panjang yang diperlukan dalam infrastruktur," katanya dalam nota kajian.
Selepas harga gas memuncak baru-baru ini (Eropah) pada Ogos 2022 dan harga arang batu (Australia) melonjak pada September 2022, terutamanya disebabkan tahap inventori yang tinggi di pasaran Eropah manakala suhu musim sejuk lebih rendah daripada jangkaan.
Namun begitu, harga semasa gas dan arang batu kekal tinggi. Harga arang batu di Australia kini didagangkan pada AS$400 satu tan metrik (RM1,760) dan Indonesia pada AS$280 satu tan metrik (RM1,250), yang menjejaskan kos elektrik di Malaysia.
Ini memandangkan komoditi itu (walaupun kualiti arang batu pada harga yang lebih murah) diimport sepenuhnya dan penjanaan kuasa arang batu menyumbang kira-kira 60% daripada tenaga elektrik Semenanjung Malaysia.
Dari sudut positif, harga gas Malaysia (oleh Petronas) masih banyak dikurangkan pada RM40.17/mmtbu pada suku ketiga 2022 dan dijangka meningkat kepada RM50/mmbtu pada suku keempat 2022 berbanding harga Eropah pada RM100/mmbtu dan harga gas asli cecair (LNG) import China pada RM215/mmtbu (dari Malaysia).
Wong berkata, pendapatan teras bagi Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Petronas Gas Bhd. dan YTL Power International Bhd. kekal kukuh pada suku sebelumnya di sebalik harga tenaga yang lebih tinggi.
Menurutnya, walaupun pendapatan kekal mampan di bawah mekanisme ICPT, aliran tunai mungkin masih terjejas disebabkan ketidakpadanan masa seperti TNB dan Wessex Water milik YTL Power.
"Namun, pihak pengurusan telah menguruskan aliran tunai mereka secara berhemat dengan pinjaman jangka pendek (mampu menuntut semula kos modal kerja tambahan melalui mekanisme ICPT).
"Meskipun terdapat ketidakpadanan aliran tunai, kami menjangkakan dividen untuk sektor ini kekal utuh," jelasnya.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap TNB dan YTL Power dengan harga sasaran masing-masing pada RM11.65 dan RM1.08 sesaham berikutan pembayaran dividen dan hasil kumpulan yang kekal stabil.
Bagaimanapun, ia mengulangi saranan 'pegang' terhadap Petronas Gas dengan harga sasaran pada RM17.85 ekoran pelarasan tarif yang lebih rendah di bawah semakan tempoh kawal selia kedua (RP2) bagi tempoh 2023-2025. - DagangNews.com








