HLIB : Harga minyak sawit mentah kekal melebihi paras RM4,000 sehingga suku pertama 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB : Harga minyak sawit mentah kekal melebihi paras RM4,000 sehingga suku pertama 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Nov - Harga minyak sawit mentah dijangka berlegar melebihi RM4,000 satu tan metrik dalam tempoh beberapa bulan akan datang sehingga suku pertama 2023, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Penganalisisnya, Chye Wen Fei berkata, harga minyak sawit mentah yang kompetitif dan kebimbangan terhadap bekalan dalam tempoh terdekat akan menjadi pemangkin kepada harga komoditi itu.

 

Selain itu katanya, ia turut dipengaruhi oleh ketidakpastian mengenai nasib Koridor Bijian Laut Hitam (yang akan tamat tempoh pada 19 November 2022) dan kebimbangan yang semakin berkurangan terhadap stok minyak sawit Indonesia.

 

"Bagaimanapun, kami menyemak semula unjuran harga bagi 2022 kepada RM5,050 satu tan metrik lebih rendah berbanding anggaran RM5,500 satu tan metrik sebelum ini manakala RM4,000 satu tan metrik pada 2023 (berbanding anggaran RM4,500 satu tan metrik sebelum ini).

 

"Unjuran kami ini mengambil kira harga minyak sawit mentah yang lebih lemah pada suku ketiga dan keterlihatan bekalan yang lebih baik dan ketiadaan pemangkin permintaan.

 

"Bagi 2024 pula, kami masih mengekalkan unjuran pada RM3,800 satu tan metrik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

SAWITA

 

 

Harga minyak sawit mentah dijangka mulai menurun pada suku kedua 2023 berikutan bekalan minyak sayuran yang lebih baik apabila masalah buruh semakin berkurangan di Malaysia.

 

Ketibaan pekerja asing telah mula mendapat perhatian sejak beberapa bulan lalu, dan semakin bertambah baik (walaupun secara beransur-ansur) hingga 2023, sekali gus mengurangkan kekurangan pekerja dalam sektor perladangan.

 

Ia juga disebabkan meningkatnya risiko kemelesetan global dan peningkatan inventori bagi negara pengimport minyak sawit. 

 

Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia telah memberi amaran terhadap risiko kemelesetan global semakin meningkat dan mungkin menjejaskan permintaan bagi minyak sayuran termasuk minyak sawit.

 

Secara keseluruhan, Wen Fei mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan disokong penilaian yang memberangsangkan dan harga minyak sawit mentah yang tinggi dalam tempoh terdekat.

 

Pilihan utamanya bagi sektor itu ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd. dan IOI Corp. Bhd. dengan masing-masing diberi saranan 'beli' pada harga sasaran RM27.27 dan RM4.65. - DagangNews.com