Hess mulakan pengeluaran gas pertama bagi Fasa 3 projek NMB | DagangNews Skip to main content

Hess mulakan pengeluaran gas pertama bagi Fasa 3 projek NMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Hess Malaysia (Hess) memulakan pengeluaran pertama bagi Fasa 3 Projek Pembangunan Gas Bersepadu Lembangan Melayu Utara (NMB) susulan kejayaan penemuan gas pertama daripada Fasa 1c, bulan lepas.

 

Syarikat itu menyatakan, Fasa 1c dan Fasa 3 merupakan fasa pembangunan susulan di NMB yang merangkumi pemasangan kemudahan platform kepala telaga Bergading B dan empat telaga berkaitan yang mampu memberi kapasiti bekalan gas baharu melebihi 100 juta kaki padu sehari ke Semenanjung Malaysia.

 

Naib Presiden Hess Asia, Zhiyong Zhao berkata, NMB adalah sumber penting yang akan membantu memenuhi keperluan tenaga negara dan pihaknya berbangga kerana berjaya mengeluarkan gas pertama untuk Fasa 1c dan Fasa 3 NMB dengan selamat.

 

“Perkongsian jangka panjang kami dengan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas (MPM) dan sokongan daripada Petronas Carigali serta kontraktor berkaitan adalah pemangkin kepada kejayaan berterusan projek NMB. 

 

"Tanpa perkongsian kritikal ini, kami tidak mungkin dapat menyiapkan fasa pembangunan baharu ini terutamanya semasa pandemik global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Projek Pembangunan Gas Bersepadu NMB adalah projek pemabangunan berperingkat yang terdiri daripada Sistem Pengeluaran Awal (EPS) dan seterusnya Fasa Pertama projek Pembangunan Medan Penuh (FFD), yang masing-masing telah mencapai gas pertama pada 2013 dan 2017. 

 

nmb
Zhiyong Zhao

 

Fasa 2 termasuk pembangunan lapangan Bunga Zetung dan Bunga Anggerik yang terletak di selatan Platform Pemprosesan Pusat Bergading (CPP) kira-kira 300 kilometer di luar persisir Semenanjung Malaysia dan Fasa 3 yang terdiri daripada pembangunan platform kepala telaga Bergading B dan empat telaga berkaitan.
 

NMB ialah aset gas asli berjangka hayat panjang yang terdiri daripada sembilan lapangan gas asli yang ditemui dengan anggaran kasar sumber boleh pulih lebih daripada 1.5 trilion kaki padu gas asli dan lebih daripada 20 juta tong kondensat. 

 

Hess Malaysia merupakan anak syarikat Hess Corporation dan memegang 50% kepentingan dalam projek NMB bersama Petronas Carigali yang memiliki baki pegangan 50%. - DagangNews.com