KUALA LUMPUR 17 Jan - Malaysia-Indonesia Halal Forum & Industry Engagement 2023 julung kali dianjurkan Halal Development Corporation Bhd. (HDC) dapat menggalakkan pertumbuhan industri halal serantau dan membina kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Indonesia (BPJPH).
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob berkata, Indonesia dan Malaysia adalah negara Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan hubungan dua hala antara kedua-dua negara ini kukuh.
Katanya, laporan oleh Pusat Gaya Hidup Halal Indonesia dan DinarStandard menunjukkan Indonesia mempunyai jumlah eksport halal bernilai AS$8.5 bilion, menjadikan ia pengeksport ke-10 terbesar di dunia dan pengeksport kedua terbesar dalam kalangan negara-negara OIC.
"Indonesia merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, dengan eksport halal Malaysia ke Indonesia dalam tempoh lima tahun terakhir (2017-2021) berjumlah RM9.34 bilion.
"Jumlah eksport ini merangkumi sektor makan dan minuman, bahan halal serta kosmetik dan penjagaan peribadi.
“Melalui kemas kini berkala hasil perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam forum ini, Jakim dan BPJPH dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih padu dan juga meningkatkan ketelusan dan penyelarasan dalam penggubalan peraturan halal dalam kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Forum itu akan menjadi asas untuk pihak berkepentingan dalam industri halal dari kedua-dua negara bekerjasama mengangkat industri halal rantau ini ke tahap yang lebih tinggi.
Tinjauan pasaran oleh HDC pada 2021 mendedahkan 90% pengeluar halal Malaysia masih belum menembusi pasaran tempatan Indonesia manakala, hanya baki 9% mempunyai pengalaman lebih daripada lima tahun mengeksport ke Indonesia.
Selain itu, 75% daripada responden menghadapi pelbagai cabaran memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Indonesia, termasuk kerumitan aplikasi halal Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) dan penetapan harga tinggi serta keperluan pelabelan tempatan.
Pengeksport halal Malaysia juga sukar untuk menembusi pasaran Indonesia kerana hubungan yang kukuh antara pasaran dan jenama tempatan yang mengehadkan penerimaan produk import, serta kos logistik yang tinggi dan kesukaran mencari rakan kongsi perniagaan tempatan yang sesuai.
Forum ini dianjurkan oleh Development Corporation Berhad (HDC), dengan kerjasama Jakim dan BPJPH selama tiga hari dari 16 hingga 18 Januari.
Sesi lawatan kerja selama dua hari dijangka dihadiri 200 perwakilan dan 700 peserta dalam talian yang mempunyai pandangan dan pemahaman peringkat tinggi berkenaan cabaran yang dihadapi oleh industri halal di Malaysia dan Indonesia. - DagangNews.com







