Hasil pelupusan ElectraNet bantu YTL Power teroka peluang perniagaan berdaya maju | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil pelupusan ElectraNet bantu YTL Power teroka peluang perniagaan berdaya maju

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 April - YTL Power International Bhd. dijangka meneroka peluang perniagaan baharu yang berdaya maju bagi melengkapkan aset sedia adanya susulan langkah pelupusan ElectraNet Pty Ltd. 

 

Kumpulan kini dalam proses melupuskan 33.5% pegangan dalam ElectraNet kepada Australian Utilities yang dijangka selesai pada pertengahan tahun ini dan akan menyaksikan YTL Power meraih keuntungan sebanyak RM2,21 bilion, selepas mengambil alih kepentingan bernilai A$58.5 juta pada tahun 2000.

 

Dalam pertemuan dengan pengurusan kumpulan baru-baru ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, hasil pelupusan daripada ElectraNet itu berupaya meningkatkan fleksibiliti YTL Power untuk menggunakan rizab tunainya ke arah perniagaan baharu yang berdaya maju.

 

"Kami menjangkakan, ia akan meneroka peluang baharu berkaitan pusat data (dengan mengambil alih Dodid di Singapura) dan juga tenaga solar (membeli tanah seluas 664 hektar di Kulai, Johor bagi projek solar berskala besar dengan kapasiti 500MW).

 

"Selain itu, ia termasuklah menyokong usaha samanya dengan Shopee bagi mendapatkan lesen perbankan digital," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Susulan pelupusan tersebut, firma itu melihat kedudukan lembaran imbangan YTL Power akan meningkat dengan ketara dan menjangkakan bayaran dividen akan diteruskan bagi tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Ini membolehkan HLIB menaikkan harga sasaran (TP) YTL Power kepada RM1.05 daripada 75 sen sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.

 

Bagaimanapun, menurutnya, susulan langkah pelupusan itu yang bernilai RM3 bilion itu, ia menggambarkan pasaran kurang menghargai penilaian terhadap Wessex Water, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh YTL Power.

 

Firma itu berkata, model perniagaan Wessex Water hampir menyamai ElectraNet dengan terma nilai modal kawal selia (RCV) menggantikan RCAB.

 

"Pendapatan Wessex Water dilindungi berdasarkan pulangan yang dibenarkan ke atas perbelanjaan modal yang diluluskan dengan pelarasan inflasi.

 

"Malah, kumpulan juga menekankan bahawa inflasi tinggi baru-baru ini di United Kingdom (UK) akan memanfaatkan Wessex Water kerana hasil akan diselaraskan lebih tinggi sebanyak 4.5% berkuat kuasa 1 April 2022," jelasnya.

 

YTL Power membeli kepentingan dalam ElectraNet pada 2000 dan kemudiannya diikuti dengan pengambilalihan dalam Wessex Water Services Ltd. yang berpangkalan di UK pada 2002.

 

Selain itu, YTL Power, melalui YTL Communications Sdn. Bhd. yang dimiliki 60% pegangan, turut mengendalikan rangkaian YES 5G.

 

Setakat 11.20 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.38% kepada 73.5 sen dengan 3.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com