KUALA LUMPUR 10 Mac - Hasil perkhidmatan industri telekomunikasi pada 4QFY22 meningkat 0.9% dari suku tahun ke suku tahun dipacu pelbagai pemulihan progresif termasuk kehadiran semula pelancong serta tenaga kerja asing.
CGS-CIMB Research berkata, Maxis memperoleh bahagian pasaran hasil (RMS) dengan mencatatkan peningkatan 0.2% kepada 39.5% (atas perbelanjaan Celcom) manakala RMS Digi tidak berubah pada 29.3%.
Katanya, hasil TM merosot 5.5% disebabkan kejatuhan jualan kabel dasar laut, panggilan antarabangsa dan pendapatan daripada produk ICT.
Firma itu berkata, pada masa sama, segmen kelas bawah, persaingan semakin ketat dengan Digi, Maxis dan U Mobile meningkatkan kuota data RM38-RM60/bulan mereka antara 25-100%.
Katanya, bagi segmen pertengahan hingga yang lebih tinggi, Celcom memberikan pelanggan baharu yang mendaftar dalam talian untuk pelan Mega, manakala Maxis juga menamatkan tawaran kredit Touch 'n Go eWallet RM150 untuk pascabayar baharu.
Bagaimanapun, Maxis menambah baik pelan Pascabayar 98 dengan menawarkan rebat RM20/bulan kepada pelanggan baharu.
Firma itu berkata, harga saham pengendali rangkaian mudah alih meningkat 21-38% sejak paras terendahnya pada pertengahan 2022 bagi mencerminkan perkembangan 5G yang lebih menggalakkan setakat ini dan prospek pertumbuhan masa depan.
"Kami menyukai segmen tetap kepada mudah alih kerana prospek pertumbuhan hasil yang lebih baik dari segi struktur, persaingan yang kurang dan penilaian yang lebih baik.
"Walaupun berlaku pemotongan harga akses gentian baru-baru ini adalah negatif, kami melihat impak pendapatan terurus kerana pemotongan adalah lebih rendah daripada yang dicadangkan," katanya.
Firma itu menyemak turun penarafan sektor itu kepada 'neutral'.
Bagaimanapun, sektor itu berdepan cabaran termasuk perubahan polisi 5G dan saingan sengit dalam kalangan pengendali. - DagangNews.com








