Harga sedia ada minyak masak botol kekal hingga 7 Februari 2023 - KPDN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga sedia ada minyak masak botol kekal hingga 7 Februari 2023 - KPDN

PUTRAJAYA 3 Jan - Harga minyak masak tulen kemasan botol bagi kuantiti satu hingga lima kilogram (kg) dikekalkan bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari ini, walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia, mengalami peningkatan sejak Disember lalu.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, minyak masak botol bagi 1kg kekal pada harga RM6.90, 2kg (RM13.30), 3kg (RM19.60) dan 5kg pada harga RM30.90, lapor Berita Harian.

 

"Penetapan ini adalah hasil kerjasama pihak industri minyak masak yang bersetuju untuk mengekalkan harga sebagai usaha bersama untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Salahuddin berkata, kerajaan menerusi KPDN menetapkan Harga Runcit Maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

 

Menurutnya, kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak, berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

 

Katanya, mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

 

"Sabit kesalahan bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000," katanya. - DagangNews.com