KUALA LUMPUR 23 Mei - RHB Research melihat banyak ruang pertumbuhan boleh diraih Hibiscus Petroleum Bhd. terutama dalam persekitaran harga minyak mentah yang tinggi.
Menurut firma itu, syarikat minyak dan gas (O&G) itu dijangka mempamerkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh antara 79 hingga 261% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) hingga FY23.
Ini berikutan harga minyak yang kekal kukuh dan juga rangsangan pengeluaran daripada aset Repsol yang diambil alih kumpulan akan meningkatkan pengeluaran dan rizab.
"Sebagai pemain huluan bagi penerokaan dan pengeluaran (E&P) yang tersenarai di Malaysia, Hibiscus Petroleum dilihat mempunyai kelebihan kepada harga minyak memandangkan pendedahan langsungnya kepada harga minyak.
"Ia berdasarkan harga sahamnya adalah 73% positif berkait dengan harga minyak mentah Brent," katanya dalam nota kajian hari ini
Berdasarkan analisis sensitif yang dijalankan RHB Research, mendapati setiap kenaikan 1% harga minyak akan meningkatkan hasil bagi FY22-FY24 antara 1.5 hingga 2%.
Firma itu menganggarkan harga minyak mentah Brent akan kekal pada purata AS$100 setong untuk separuh kedua ini manakala AS$85 setong pada 2023, yang dilihat akan terus menyokong penilaian terhadap kumpulan.
"Kami tidak menolak kemungkinan kenaikan harga minyak untuk kekal lebih lama daripada jangkaan kerana kami masih belum melihat titik perubahan memandangkan bekalan global kekal ketat.
"Faktor ini mengambil kira krisis yang berlarutan, dengan konflik berlaku di sempadan Ukraine dan agar Rusia tidak menjadikan sumber O&G dan bekalannya sebagai 'senjata' ke atas Eropah," jelasnya.
Mengenai pengambilalihan aset luar pesisir Repsol di Vietnam dan Malaysia, firma itu berkata, rizab berkemungkinan bersih/sumber luar jangka (2P/2C) dinaikkan sebanyak 63%/175% kepada 77.3 juta tong bersamaan minyak (boe)/73.2 juta boe manakala pengeluaran dianggarkan meningkat sebanyak 13,000 hingga 14,000 tong boe sehari atau 2 kali.
Katanya, nisbah gas kepada minyak untuk rizab 2P telah dinaikkan kepada 17:83 daripada 2:98, yang merupakan langkah penting ke arah peralihan tenaganya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Penyepaduan seterusnya dengan operasi sedia ada di Sabah boleh menurunkan perbelanjaan operasi (opex)/boe bersih manakala potensi lanjutan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) akan meningkatkan 2P/2C kumpulan," tambahnya.
Di sebalik menjangkakan pertumbuhan kukuh bagi FY22-FY23, RHB Research bagaimanapun mengunjurkan pertumbuhan hasil FY24 akan menurun 20% berikutan anggaran harga minyak yang rendah sebanyak AS$80 setong.
Mengenai kedudukan kewangan, katanya, tunai bersih kumpulan dijangka terus kukuh dalam tempoh FY22-FY24 disokong penjanaan aliran tunai yang mantap.
"Kami memperoleh nilai wajar (FV) sebanyak RM1.84, berdasarkan rizab minyak nilai perusahaan (EV)/2P sebanyak AS$10.00/boe, yang merupakan diskaun 39% kepada purata pemain serantau yang lebih luas sebanyak AS$16.50/boe.
"FV ini mencerminkan 5.5 kali harga perusahaan (PE) bagi FY23, iaitu di bawah penilaian purata 5 tahunnya (9 kali) serta lebih rendah daripada Indeks Tenaga Bursa Malaysia (18x)," katanya.
Setakat 12.13 tengah hari ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.36% kepada RM1.45 dengan 14.17 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








