Harga minyak sawit mahal akibat peladang Indonesia tidak produktif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mahal akibat peladang Indonesia tidak produktif

KUALA LUMPUR 9 Mac - Penanaman semula pokok kelapa sawit yang perlahan dan tidak produktif di Indonesia mungkin akan terus melemahkan pertumbuhan keluaran negara pembekal terbesar dunia itu, menurut syarikat perladangan Golden Agri-Resources Ltd.

 

Ketua Pegawai Operasi firma berpangkalan di Singapura, Tony Kettinger berkata, peningkatan pengeluaran mungkin hanya sebanyak 500,000 tan kepada 1 juta tan tahun ke tahun iaitu kenaikan kira-kira 1% daripada tahun lepas.

 

Penanaman semula pokok kelapa sawit yang sudah tua adalah penting bagi Indonesia kerana ia membantu mengekalkan atau meningkatkan hasil tanpa meningkatkan penggunaan tanah, demikian menurut beliau dalam temu bual dengan Bloomberg pada Selasa.

 

Mengulas lanjut, Tony berkata hal tersebut adalah cabaran bagi pekebun kecil berikutan kos tinggi dan potensi kehilangan pendapatan semasa proses tersebut di samping risiko terhadap pengeluaran disebabkan jangkaan peralihan cuaca daripada La Nina kepada El Nino tahun ini.

 

Terdapat beberapa aktiviti penanaman semula berlaku namun kebanyakan pokok semakin tua dan tidak meningkatkan produktiviti, katanya.

 

"Kami tidak nampak peningkatan pengeluaran yang besar akan tiba. Peningkatan yang sangat perlahan sebenarnya. Itu pun jika cuaca baik.

 

Sejarah telah menunjukkan bahawa dengan El Nino, kita sebenarnya boleh menderita,” ujar beliau.

 

Penanaman semula adalah satu usaha besar kerana ia memerlukan pelaburan yang banyak dan menjejaskan pendapatan selama beberapa tahun, menurut Golden Agri.

 

Tambahnya, ini merupakan keputusan yang sukar untuk penanam terutamanya apabila harga tinggi.

 

Niaga hadapan minyak sawit global meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun lalu dan kini didagangkan pada kira-kira RM4,200 (AS$939) satu tan. -DagangNews.com