SINGAPURA 9 Feb - Harga minyak meningkat dalam dagangan awal hari ini, meneruskan kenaikan untuk hari keempat berturut-turut, lapor Reuters.
Ini memandangkan gangguan muatan minyak mentah di Turki dan keyakinan terhadap permintaan China yang pulih terus menyokong sentimen.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 14 sen atau 0.2% kepada AS$85.26 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) menokok 11 sen atau 0.2% kepada AS$78.58 setong.
Sepanjang minggu ini, kedua-dua penanda aras minyak ini mengukuh lebih daripada 6%.
Menurut laporan itu, BP Azerbaijan mengisytiharkan 'force majeure' ke atas penghantaran minyak mentah Azeri dari pelabuhan Turki di Ceyhan pada 7 Februari lalu selepas gempa bumi besar melanda Turki dan Syria awal pagi Isnin.
Bencana itu telah menghentikan operasi di Ceyhan dan mengganggu aliran minyak mentah dari Iraq dan Azerbaijan.
Harapan untuk pemulihan pantas dalam permintaan dari China juga menyokong harga minyak apabila pengguna minyak kedua terbesar di dunia itu menamatkan dasar sifar COVID-19 yang ketat selama lebih tiga tahun melibatkan penutupan seluruh bandar dan ujian besar-besaran pada Disember.
NAB Commodities Research dalam nota kajiannya menjangkakan sekatan yang dikaitkan dengan konflik Ukraine-Rusia, dan pembukaan semula China akan menjadi pemacu utama harga dalam tempoh 12 bulan akan datang, di mana kenaikan harga minyak dilihat berkemungkinan berlaku sehingga separuh kedua 2023.
Bagaimanapun, peningkatan inventori minyak mentah di AS memberi tekanan kepada keuntungan minyak. Stok meningkat minggu lalu ke paras tertinggi sejak Jun 2021 kepada 455.1 juta tong. - DagangNews.com








