Harga gas asli lebih tinggi lonjak untung bersih Gas Malaysia kepada RM95.66 juta pada suku ketiga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga gas asli lebih tinggi lonjak untung bersih Gas Malaysia kepada RM95.66 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Nov - Untung bersih Gas Malaysia Bhd. meningkat 53.4% kepada RM95.66 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM62.36 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 34.8% kepada RM1.86 bilion daripada RM1.38 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Peningkatan itu disumbangkan harga jualan purata (ASP) gas asli yang lebih tinggi sejajar dengan harga pasaran global, mengurangkan volum jualan gas asli yang lebih rendah pada suku semasa.

 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, untung bersihnya meningkat 63.2% kepada RM294.32 juta daripada RM180.33 juta manakala pendapatan meningkat 38.7% kepada RM5.43 bilion daripada RM3.91 bilion. 

 

Bagi perbandingan suku ke suku, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM138.8 juta pada suku semasa berbanding RM144.1 juta pada suku kedua.

 

Ini terutamanya disebabkan keuntungan kasar yang lebih rendah, perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan kewangan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat usaha sama kumpulan.

 

Menurut Gas Malaysia, ekonomi Malaysia dijangka terus pulih pada suku keempat 2022 apabila aktiviti ekonomi terus berkembang ekoran kelonggaran sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

 

"Dalam hal ini, kumpulan akan terus mengambil langkah berhemat untuk mengekalkan kecekapan operasi, untuk kekal berdaya saing dan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan.

 

"Lembaga Pengarah menjangkakan kumpulan akan merekodkan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2022 seiring dengan peningkatan ekonomi bagi baki tahun kewangan tersebut," katanya. - DagangNews.com