KUALA LUMPUR 19 Okt - Liputan 5G dijangka terjejas ekoran kelewatan kelulusan pembinaan tapak menara telekomunikasi (telco) meskipun sebanyak 1,915 tapak sudah siap dibina dengan liputan sehingga 33.2% setakat suku ketiga 2022, demikian menurut RHB Investment Bank.
Data yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan daripada jumlah tapak itu yang telah siap untuk pelancaran 5G setakat ini, sebanyak 1,070 tapak telah disediakan dengan liputan 5G termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Perak.
"Namun, jumlah tersebut hanya merangkumi 54% daripada sasaran Digital Nasional Bhd. (DNB) menjelang akhir tahun ini untuk mencapai 3,518 tapak dengan liputan sehingga 37.9%," jelas penganalisisnya, Jeffrey Tan dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, Malaysia berada dalam laluan yang betul untuk mencapai sasaran 80% liputan 5G menjelang 2024.
Pelan pelancaran 5G telah dilaksanakan sejak Disember 2021, dengan MCMC menyasarkan liputan 37.9% untuk kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini.
MCMC telah mendapat 1,558 tapak di Selangor yang dirancang untuk pelancaran 5G, dengan 886 tapak siap dan 513 tapak sedang dibina, menjadikan Selangor negeri terbanyak.
Dalam pada itu, Tan berkata, memandangkan DNB memainkan peranan sebagai penyedia rangkaian borong tunggal (SWN) 5G, ia akan menyaksikan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) akhirnya akan berubah menjadi pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) dalam jangka masa panjang apabila persaingan beralih daripada rangkaian kepada produk dan perkhidmatan.
Menurutnya, pengawal selia juga menyatakan ia terbuka untuk sebarang penyatuan dalam mudah alih dan telah melantik perunding pihak ketiga untuk mengkaji perkara berkenaan.
"Larangan semasa kawal selia mengenai penggunaan spektrum sedia ada untuk perkhidmatan 5G juga telah mengurangkan pemilikan spektrum dan pelan hala tuju industri secara berkesan, yang boleh menjadi pemangkin kepada aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) seterusnya," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sasaran liputan populasi 4G sebanyak 96.9% mungkin sukar dicapai disebabkan kedudukan lokasi tapak yang terpencil, dengan mencapai liputan pada 95.82% setakat suku kedua 2022.
"Namun, MCMC menekankan bahawa bilangan premis yang dilengkapi oleh rangkaian fiber telah mencecah 7.44 juta, lebih rendah daripada 7.5 juta yang disasarkan pada akhir 2022 di bawah Fasa 1 Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) meskipun kelajuan jalur lebar mudah alih berada pada purata 52.48Mbps, lebih tinggi berbanding sasaran 35Mbps," katanya.
Laporan Jendela bagi suku ketiga 2022 mendapati sebanyak 241,851 atau 163.9% premis telah lengkap dengan sambungan fiber, manakala naik taraf menara telekomunikasi asas mencapai 1,923 premis melepasi sasaran suku dikaji iaitu 1,793 menara asas.
Bagi menara 4G baharu, sebanyak 89 menara telco baharu dibangunkan berbanding sasaran 87 pada suku ketiga 2022.
Untuk pelaksanaan 5G pula, hanya 944 menara telco dibangunkan pada suku ketiga, masih jauh dari sasaran iaitu 1,290 menara telekomukasi yang disasarkan dibina pada suku berkenaan.
Secara keseluruhan, RHB Investment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan pilihan utamanya ialah saham Telekom Malaysia Bhd., Time dotCom Bhd. dan OCK Group Bhd. - DagangNews.com








