HAL Fintech Advisor, UiTM jalin kerjasama untuk perdagangan halal antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HAL Fintech Advisor, UiTM jalin kerjasama untuk perdagangan halal antarabangsa

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - HAL Fintech Advisor (HFA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa di bawah slogan ‘Halal; Rahmah to The World’.

 

“Teras utama MoU tersebut adalah untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa antara UiTM dan HFA dalam pelbagai bidang seperti ekosistem rantaian bekalan halal dan program pembangunan kapasiti,” kata HFA dalam satu kenyataan selepas majlis menandatangani MoU itu.

 

Mengulas lanjut, HFA berkata kerjasama antarabangsa itu akan mempromosi bakat halal tempatan, pertukaran manusia-ke-manusia dan program pembangunan kapasiti di Eropah dan Afrika.

 

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr. Roziah Mohd Janor dan Pengasas HFA, Aizuddinur Zakaria.

 

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Presiden Institut Bertauliah Logistik dan Pengangkutan Malaysia (CILT), Datuk Muhammad Muhyiddin Abdullah di Shah Alam, Selangor hari ini.

 

Menurut HFA, MoU itu telah dirangka akan kedua-dua pihak menganjurkan simposium halal, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat mengenai penyelidikan serta acara perdagangan halal.

 

Selain itu, ia akan menggalakkan pertukaran maklumat penyelidikan berkaitan pembangunan ekosistem rantaian bekalan halal.

 

Di samping itu, mereka akan membangunkan program keusahawanan, termasuk melibatkan pemain industri dan menganjurkan aktiviti inovasi korporat secara tempatan sebagai hab nasional untuk membimbing usahawan berpotensi untuk agar bersedia mengembangkan pasaran ke luar negara seperti Eropah dan Afrika.

 

Dalam majlis yang sama turut diadakan penganugerahan sijil Eksekutif Halal Profesional, kursus akreditasi Jakim dan Sijil Rantaian Bekalan Halal kepada 47 pelajar tahun akhir UiTM yang telah berjaya menamatkan kursus di bawah inisiatif KPT-PACE. -DagangNews.com