KUALA LUMPUR 22 April - GIIB Holdings Bhd. telah melantik firma perunding bebas, PKF Covenant Sdn. Bhd. untuk membantu jawatankuasa penyiasat GIIB dalam siasatan terhadap pengurusan dan pengendalian akaun dan perniagaan sarung tangan getah kumpulan yang dikendalikan pengarah eksekutifnya yang ketika ini digantung tugas, Wong Weng Yew.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, GIIB berkata, memandangkan PKF hanya baru dilantik hari ini (22 April 2022), jawatankuasa siasatan tidak dapat menentukan tempoh masa untuk menjalankan penyiasatan buat masa ini.
Katanya, skop kerja PKF termasuklah memeriksa secara bebas bukti dan maklumat berkaitan dengan pertuduhan terhadap Wong dan memberikan ulasan dan pandangan mengenai bukti dan maklumat berkenaan.
"Selain itu, ia juga termasuk menyediakan laporan hasil siasatan, yang akan diserahkan kepada jawatankuasa penyiasatan GIIB, dan menghadiri mesyuarat dengan jawatankuasa penyiasat atau lembaga syarikat (GIIB), seperti yang diperlukan, untuk membentangkan penemuan dan ulasan/pandangan dalam laporan tersebut," jelasnya.
Baca : Pengarah Eksekutif GIIB dakwa digantung selepas persoal transaksi
Sebelum ini, GIIB mengumumkan penggantungan Wong kepada Bursa Malaysia pada 11 April 2022.
Menurut pemfailan GIIB ketika itu, beliau telah digantung tugas dengan syarikat itu sejak 28 Mac 2022 dan penggantungan itu dilanjutkan sehingga Isnin (25 April 2022) sementara menunggu penilaian jawapannya terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan GIIB.
Pada Rabu, Wong mendakwa penggantungannya berlaku selepas beliau membangkitkan persoalan mengenai beberapa transaksi yang didapatinya bersifat mencurigakan.
Ini bertentangan dengan dakwaan syarikat melalui pemfailan Bursa Malaysia bertarikh 12 April lalu bahawa penggantungannya dibuat bagi memudahkan siasatan terhadap pengurusan dan pengendalian perniagaan sarung tangan dan akaun syarikat itu.
Menurut Laporan Tahunan GIIB 2020, Wong telah dilantik ke jawatan itu pada 23 Februari 2021 di mana beliau bertanggungjawab menguruskan operasi kewangan dan perakaunan kumpulan. - DagangNews.com








