Gentari, Tata Motors jalin kerjasama penghantaran 5,000 trak Ace EV di India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gentari, Tata Motors jalin kerjasama penghantaran 5,000 trak Ace EV di India

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Cabang tenaga hijau Petronas, Gentari memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tata Motors untuk penghantaran 5,000 unit trak Tata Ace EV dalam tempoh tiga tahun di India. 

 

MoU itu juga meliputi penghantaran sebanyak 1,000 unit Tata Ace EV dalam tahun pertama untuk digunakan di Delhi, Bengaluru, Hyderabad, Pune dan Kolkata. 

 

Terdahulu, Gentari dan Tata Motors mengadakan majlis penyerahan semasa Ekspo Smart Cities India ke-8 untuk menandakan penghantaran kumpulan pertama 100 trak yang akan berlangsung sepanjang Mac dan April tahun ini.

 

Gentari juga telah menandatangani beberapa MoU lain di India termasuk satu dengan MoEVing Urban Technology Private Limited untuk menyediakan 1,000 kenderaan kargo elektrik tiga roda dan 500 empat roda secara langganan. 

 

Selain itu, Gentari juga bertukar dokumen MoU dengan syarikat logistik Gati KWE untuk menyediakan mereka dengan 500 kenderaan kargo elektrik melalui tawaran kenderaan sebagai perkhidmatan (VaaS).

 

Menurut Gentari, tawaran VaaS semasa mereka dengan kira-kira 1,000 kenderaan elektrik (EV) tiga roda telah mencatatkan 3 juta kilometer bersih yang bersamaan dengan lebih daripada 100 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida. 

 

"Menjelang 2023, Gentari menyasarkan untuk mengembangkan EV kepada lebih 4,000 kenderaan merentasi sepuluh bandar dengan gabungan kenderaan tiga dan empat roda," katanya dalam kenyataan.

 

 

gentari

 

 

Sementara itu, Gentari turut menyasarkan untuk meningkatkan bilangan hab kepada 10 bandar pada 2023, memperluaskan 162 titik pengecasan semasa yang digunakan pada 2022. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, pihaknya melihat potensi besar dalam infrastruktur tenaga di  India.

 

"Ini menawarkan peluang kepada pemain swasta global untuk mengambil bahagian dalam menyokong matlamat sifar bersih India," katanya.

 

Katanya, Gentari percaya ini adalah masa yang sesuai untuk mengembangkan pelaburan mereka di India. - DagangNews.com