Gamuda raih projek terowong di Australia bernilai RM6.5 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda raih projek terowong di Australia bernilai RM6.5 bilion

Projek Pakej Terowong Barat yang diperoleh Gamuda dijangka bermula April 2022. - Gambar Facebook Gamuda
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Mac - Gamuda Bhd. memenangi bidaan bagi Projek Pakej Terowong Sydney Metro West — Western Tunneling bernilai AUD2.16 bilion (RM6.5 bilion).

 

Ia memperoleh kontrak tersebut menerusi konsortium Gamuda Australia dan Laing O'Rourke Australia, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Gamuda akan mengetuai kontraktor bagi projek tersebut yang dijangka bermula pada April 2022.

 

Sementara itu, Laing pula bertindak sebagai rakan kongsi penghantaran yang menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dengan bayaran yang dipersetujui.

 

"Skop kerja bagi projek ini membabitkan penggerudian dan pembinaan terowong kereta api metro berkembar 9 kilometer (km) antara Westmead dan Sydney Olympic Park.

 

"Selain itu, ia juga melibatkan kerja-kerja penggalian dan awam untuk stesen metro baharu di Parramatta Central Business District (“CBD”) and Westmead Health Precinct," katanya.

 

Projek Pakej Terowong Barat akan mewujudkan inisiatif faedah sosial dalam komuniti tempatan Sydney Barat semasa dalam pembinaan. 

 

Gamuda berkata, projek tersebut mempunyai risiko yang hampir sama dengan beberapa projek penggalian awam dan terowong yang sudah disiapkan untuk Metro Sydney dengan keadaan tanah yang sama.

 

"Malah, projek ini akan menggunakan 2 mesin pengorek terowong perisai berkembar bagi menyiapkan sebahagian besar kerja penggerudian, dengan penggalian stesen yang terdiri daripada penstabilan tanah dan penyingkiran batu," tambahnya. 

 

Kumpulan menjangkakan Projek Pakej Terowong Barat akan menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022. - DagangNews.com