KUALA LUMPUR 27 Julai - Gagasan Nadi Cergas Bhd. memperoleh kontrak pembinaan rumah mampu milik di Kemuning Utama, Selangor bernilai RM189.79 juta.
Ia menerima surat anugerah menerusi anak syarikat milik penuhnya, Nadi Cergas Sdn. Bhd. daripada Paramount Property Development Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Paramount Corp. Bhd.
Kontrak turnkey itu membabitkan reka bentuk, pelaksanaan, pembinaan dan menyiapkan rumah mampu milik berkediaman tinggi berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit.

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, kerjasama dengan Paramounts membolehkan kumpualn merealisasikan agenda pembinaan rumah mampu milik terutamanya di
lokasi bandar yang berkembang pesat.
Katanya, projek itu merupakan sebahagian daripada pembinaan 10,000 rumah mampu milik yang dibangunkan kumpulan di Lembah Klang dalam tempoh 5 tahun lagi.
"Setakat ini, kami kekal berada di landasan yang jelas, memandangkan sektor swasta dan awam memainkan peranan masing-masing untuk menjaga kebajikan rakyat di tengah-tengah trajektori menaik yang dijangkakan oleh Malaysia pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan perolehan kontrak tersebut, menjadikan nilai kontrak dalam tangan kumpulan mencecah RM1.6 bilion.
Selain daripada usaha sama bersama Paramount, projek perumahan mampu milik Gagasan Nadi Cergas termasuk projek perumahan Rumah Selangorku di Serendah, dan projek Rumah Idaman untuk Kwasa Land Sdn Bhd di Kwasa Damansara.
Wan Azman berkata, kumpulan menunjukkan kemajuan positif dalam operasi bagi segmen hartanah dan pembinaan.
"Kami telah meneruskan momentum kerja di tapak pembinaan dalam segmen pembangunan dan pembinaan hartanah kami pada suku keempat 2021, dan juga dengan peralihan negara ke fasa endemik pada April 2022.
"Kedua-dua segmen inidijangka menyumbang dengan ketara dalam tahun kewangan semasa," katanya. - DagangNews.com








