Gabungan AQRS dijangka tidak berdepan impak ketara kenaikan bahan binaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gabungan AQRS dijangka tidak berdepan impak ketara kenaikan bahan binaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kenaikan bahan binaan dijangka tidak memberi impak ketara kepada Gabungan AQRS Bhd. berikutan syarat perubahan harga (VOP) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 14 Julai lalu. 

 

Ia menyaksikan kerajaan menambah 11 lagi bahan binaan dalam pelaksanaan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan selain memastikan projek siap tepat pada masanya.

 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan bahan binaan dalam VOP ialah 15 antaranya simen, batu bata dan dinding, kaca, batu baur, bahan siling serta bahan bumbung. 

 

Susulan itu, MIDF Research positif terhadap prospek hasil kumpulan didorong pendekatan perlindungan margin bagi bahagian pembinaan dan jualan hartanah yang kukuh menerusi segmen pembangunan hartanah. 

 

Firma itu juga berpendapat, Gabungan AQRS akan menjadi antara penerima manfaat utama, sama ada secara langsung atau menerusi projek subkontraktor membabitkan beberapa projek mega seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan projek yang bakal diumumkan kerajaan.

 

"Keyakinan ini berdasarkan pengalaman luas dan penglibatan umpulan dalam projek-projek seperti sebagai MRT1, Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan kerja-kerja menaik taraf untuk beberapa lebuh raya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Gabungan AQRS kini dalam proses mengemukakan permohonan VOP untuk projek LRT3, di mana ia terlibat dalam beberapa siri kerja dari Bandar Utama ke Johan Setia.

 

Baca : Gabungan AQRS raih kontrak pembinaan bilik darjah bernilai RM66.59 juta 

 

Pada Jumaat lalu, anak syarikatnya, Gabungan Strategik Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM66.59 juta bagi pembinaan baharu 24 bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

 

Memandangkan anggaran margin keuntungan sebanyak 5%, MIDF Research menjangkakan projek itu akan memberikan pendapatan RM3.3 juta kepada kumpulan. 

 

Menurut firma itu, Gabungan AQRS memiliki nilai kontrak dalam tangan yang belum dijelaskan yang kukuh sebanyak RM1.2 bilion yang akan memberi pendapatan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23). 

 

"Namun, kami dapati kumpulan masih ketinggalan pada sasaran penambahan semula projek sebanyak RM500 juta untuk FY22.

 

"Beserta dengan subkontrak bernilai RM31.9 juta untuk kerja-kerja pemasangan paip pembetung di Kuala Langat yang diraihnya pada Jun, jumlah nilai kontrak tahun ini ialah RM98.5 juta, atau 19.7% daripada sasaran setahun penuhnya," jelasnya.

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan beli terhadap Gabungan AQRS dengan harga sasaran pada 56 sen. - DagangNews.com