KUALA LUMPUR 16 Dis - Firma modal teroka yang berpangkalan di Malaysia, Ficus Capital mahu terus melabur dalam syarikat permula di negara ini dan rantau Asia Tenggara dengan potensi pertumbuhan global.
Dengan dana berjumlah RM60 juta, Ficus SEA, pemodal teroka patuh syariah pertama di dunia sedang mencari pemula revolusioner, mampan dan dipacu tujuan yang membawa impak kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan cara yang mampan.
Rakan pengurusan bersama, Ficus Capital, Abdullah Hidayat berkata, pihaknya terus komited untuk menyokong pertumbuhan syarikat yang mampu memberi manfaat kepada komuniti dan kemampanan ekonomi.
Katanya, Eclimo dan Assemblr adalah testimoni kepada prinsip syarikat untuk melabur dalam syarikat yang memberi kesan pada masa depan.
"Sebagai modal teroka patuh syariah, kami percaya ESG dan kemampanan berakar umbi dalam ekonomi Islam dan etika pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia Venture Capital Management Bhd. (Mavcap) ialah pelabur utama dana.
Ficus Capital diasaskan pada 2018 oleh sekumpulan profesional dan usahawan berjaya yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam industri perbankan, pelaburan dan teknologi.
Syarikat itu telah melabur sebanyak AS$450,000 dalam Eclimo, sebuah syarikat kenderaan elektrik yang dibangunkan dan dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Ia juga telah melabur AS$400,000 dalam Assemblr, syarikat platform realiti augmentasi (AR) Indonesia yang membantu pengguna mencipta kandungan AR melalui platform berasaskan web.
Sementara itu, rakan pengurusan bersama Ficus Capital, Rina Neoh berkata, sebagai pemboleh utama kepada ekosistem, pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi oleh syarikat pemula.
"Ficus Capital bukan sekadar pelabur kewangan, kerana kami menyumbang tenaga untuk membantu syarikat pemula meningkatkan pertumbuhan dan mengekalkan perniagaan," katanya. -DagangNews.com








