Fi Life tawar insurans hayat serendah RM2 sehari untuk wanita | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fi Life tawar insurans hayat serendah RM2 sehari untuk wanita

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Fi Life Sdn Bhd mengumumkan pelancaran produk insurans hayat yang pertama ditaja jamin sendiri dan boleh diperolehi secara dalam talian, selain menawarkan jaminan insurans termurah untuk wanita.

 

Syarikat insurans itu dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan kelulusan Fi Life oleh Bank Negara Malaysia untuk menyertai medan ujian kawal selianya. 

 

Katanya, kini wanita di bawah umur 55 tahun akan menikmati premium insurans hayat terendah di Malaysia atau perbezaannya akan dipulangkan, yang mana jaminan pertama seumpamanya dalam pasaran negara.

 

"Di samping itu, Fi Life menawarkan jumlah insurans tertinggi sebanyak RM1 juta di antara semua polisi insurans hayat yang ditawarkan dalam talian. 

 

"Ia juga merupakan insurans hayat termurah untuk lelaki dalam usia puncak kehidupan dan juga melindungi para profesional warga asing dengan permit kerja," katanya.

 

Menurut Fi Life, pihaknya tidak mempunyai ejen insurans kerana ia adalah syarikat insurans dalam talian sepenuhnya. 

 

Katanya, memandangkan komisen ejen boleh mencapai sehingga 40% daripada jumlah premium untuk 6 tahun pertama polisi insurans hayat biasa, Fi Life dapat mengurangkan premiumnya dengan ketara serta menyalurkan penjimatan komisen tersebut kepada pelanggannya. 

 

 

filife
                                                               Malek Ali

 

 

"Semuanya boleh dilakukan dengan sangat mudah atas talian, daripada pendaftaran hingga membuat tuntutan. Kita hanya perlu ambil masa beberapa minit melayari web tanpa memuat turun aplikasi," katanya.

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Fi Life, Malek Ali berkata, kaum wanita akan mendapat lebih banyak nilai pada wang mereka apabila mendaftar untuk polisi kerana polisi insurans hayat RM1 juta Fi Life adalah serendah RM2 sehari. 

 

"Paling penting, mereka akan diperkasakan dengan keupayaan untuk memilikinya tanpa bergantung kepada orang lain," katanya. - DagangNews.com