KUALA LUMPUR 25 Julai - FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) dan Kementerian Pendidikan melancarkan program perintis 'Eksplorasi Alam Lestari' untuk mewujudkan kesedaran mengenai pemuliharaan hidupan liar dalam kalangan kanak-kanak.
Anjuran YDN, sebuah yayasan yang memfokuskan aktiviti mengumpul dana bagi memperkasakan ekosistem pendidikan negara, projek perintis itu dianjurkan oleh Zoo Negara Malaysia dengan penyertaan seramai 120 pelajar dari beberapa sekolah rendah terpilih di Putrajaya.
Program interaktif itu memupuk nilai-nilai yang selaras dengan prinsip teras Sekolahku SEJAHTERA yang bertujuan untuk memupuk ciri-ciri tingkah laku yang baik iaitu gembira, meneroka, harmoni, teliti, rasional dan petah dalam kalangan murid sekolah.
Program kesedaran ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG) dengan mempelbagaikan persekitaran bilik darjah dan menyediakan pembelajaran visual tentang ekosistem alam semula jadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, menjadi tanggungjawab bersama sama ada individu, komuniti, syarikat swasta atau institusi kerajaan untuk melindungi serta memulihara flora dan fauna serta ekosistem bersama-sama.
“Selaras dengan komitmen kuat kami terhadap kemampanan terutamanya pada tonggak alam sekitar kami, FGV sentiasa mengutamakan usaha dan sumber kami dalam melindungi ekosistem dan memulihara biodiversiti.
"Ini terutamanya apabila banyak ladang kami berdekatan dengan hutan simpan asli yang menjadi rumah kepada banyak spesies terancam,” katanya.


Pada masa ini, FGV juga terlibat secara aktif dalam beberapa inisiatif pemuliharaan untuk melindungi hidupan liar yang terancam termasuk Program Pemuliharaan Beruang Madu (SBCP) dan menguruskan konflik manusia dan gajah. - DagangNews.com








