KUALA LUMPUR 9 Feb - FGV Holdings Berhad (FGV) memperuntukkan lebih RM3 juta untuk menjayakan Program Pembangunan Usahawan Asnaf di pelbagai lokasi seluruh negara, sempena kempen SAJI Seikhlas Hati.
FGV dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyasarkan untuk memperluas program ini ke tujuh negeri lain seperti Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur dengan jangkaan seramai 100 peserta.
Program tersebut bertujuan membantu usahawan asnaf membangunkan perniagaan mereka dengan sokongan dari segi ilmu pengetahuan, latihan kemahiran dan pendedahan yang diperlukan.
Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata, program itu adalah satu inisiatif murni syarikat dalam melaksanakan bantuan sosial yang menyeluruh dan meluas kepada kumpulan sasar, iaitu golongan yang memerlukan.
Katanya, program ini akan menyediakan bantuan dan perkhidmatan sokongan, termasuk bantuan makanan bulanan, khidmat latihan kemahiran, program ziarah dan bantuan serta inisiatif kebajikan.
“SAJI Seikhlas Hati adalah usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat berpendapatan rendah, sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka melalui program keusahawanan.
"Dengan ini, FGV komited untuk memastikan peserta program menerima manfaat jangka panjang dan mampan daripada inisiatif ini, serta akan menjadi situasi menang-menang untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat.” katanya.
Terdahulu, FGV melalui anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) melancarkan program tersebut menerusi kerjasama Institut Zakat Negeri Kedah dan Kolej Komuniti Langkawi.
Turut hadir, Pengarah Langkawi Tourism Academy Kolej Komuniti Langkawi, Haslinda Abd Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman; Ketua Pegawai Eksekutif DOPSB, Shammim Azad Kamruzaman dan Ketua Bahagian Hiliran FGV, Zulkifli Othman.
Seramai 10 usahawan asnaf terpilih di Kedah yang merupakan kumpulan pertama peserta program, menerima ‘booster’ kit bernilai RM5,000 terdiri daripada peralatan memasak, membakar kek dan roti serta bahan mentah untuk membantu mereka memulakan perniagaan.
Selain bantuan kewangan, penerima juga akan menerima pelbagai produk jenama SAJI keluaran DOPSB seperti minyak masak, santan, krimer dan marjerin Seri Pelangi, selain peruntukan RM250,000 untuk program latihan dan kursus untuk usahawan asnaf.
FGV juga merangka beberapa inisiatif lain sepanjang tahun termasuk pengedaran minyak masak percuma kepada golongan sasar dan program pengagihan bubur lambuk pada Ramadan akan datang bersama komuniti dan anak-anak yatim. - DagangNews.com








