Fasa 2 laluan MRT Putrajaya mula beroperasi Mac 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fasa 2 laluan MRT Putrajaya mula beroperasi Mac 2023

KUALA LUMPUR 23 Dis - Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya Fasa Dua dari Stesen MRT Kampung Batu ke Stesen MRT Putrajaya Sentral dijangka mula beroperasi pada Mac 2023.

 

Dalam kenyataan hari ini, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) berkata, laluan sepanjang 38.7 kilometer (km) yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah itu telah siap dan kini dalam fasa persediaan operasi.

 

Katanya, sebanyak 36 stesen berada di Laluan Putrajaya sepanjang 56.2 km itu apabila ia beroperasi sepenuhnya nanti. 

 

"Ini membolehkan penumpang berpindah ke laluan rel sedia ada yang lain di 10 stesen pertukaran (interchange) berbeza, yang memberikan kemudahan dan pemindahan lancar ke destinasi pilihan mereka," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Sebanyak 10 stesen pertukaran itu terdiri daripada Kwasa Damansara (dengan laluan Kajang MRT), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM) dan Titiwangsa (dengan laluan LRT Sri Petaling dan Ampang,, KL Monorail).

 

Selain itu, ia merangkumi Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Sri Petaling dan  Ampang), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan laluan ERL dan KLIA Transit.

 

Menurut MRT Corp., jajaran laluan Putrajaya akan disediakan oleh 49 set kereta api dengan setiap set kereta api terdiri daripada empat gerabak, dengan kapasiti maksimum 1,200 penumpang dan automatik sepenuhnya, tanpa pemandu.

 

"Sebanyak 5,870 ruang untuk tempat letak kereta disediakan buat penumpang MRT, yang terdapat di 15 stesen di sepanjang jajaran itu," katanya.

 

Semasa fasa persediaan operasi ini, Rapid Rail Sdn. Bhd. selaku pengendali Laluan Putrajaya sedang menjalankan operasi percubaan akhir bersama-sama Kontraktor Turnkey, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn. Bhd.

 

Operasi percubaan akhir adalah penting bagi memastikan semua sistem dan prosedur berfungsi dengan berkesan, terutamanya integrasi sistem, operasi dan kesediaan pengendali.

 

Sehingga kini, katanya, ujian dan pelaksanaan, yang termasuk ujian Fault-Free Running (FFR) sejauh 4,000 km telah berjaya dijalankan. 

 

"Ia adalah ujian penting untuk memastikan bahawa kereta api selamat dan memberi perkhidmatan yang baik.

 

"Tarikh tepat untuk memulakan operasi Fasa Dua akan diumumkan sebaik sahaja proses kelulusan telah dimuktamadkan dengan pihak berkuasa yang berkaitan," katanya. - DagangNews.com