KUALA LUMPUR 15 Dis - RHB Investment Bank Research berhati-hati tetapi optimis dengan prospek Malaysia bagi 2023 di tengah-tengah permintaan domestik yang berdaya tahan, dengan penggunaan swasta sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Namun begitu, menurutnya, ketidaktentuan luaran dijangka terus mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi negara.
"Di peringkat domestik, isu-isu seperti ruang fiskal yang terhad, kenaikan kos sara hidup dan masalah kekurangan buruh berkemungkinan akan berterusan," katanya dalam laporan strategi dan ekonomi global, hari ini.
Bagaimanapun, firma itu melihat kebimbangan kemelesetan global pada 2023 sudah berakhir dan yakin dengan prospek tahun hadapan.
Peruntukan aset globalnya bagi 2023 ialah ekuiti wajaran berlebihan, pendapatan tetap wajaran pasaran dan tunai kurang wajaran.
"Kami percaya pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) berada pada peringkat awal pasaran yang kukuh.
"Malah, kami telah menyaksikan kenaikan dolar AS sejak Disember 2020. Pengukuhan dolar AS mencapai kemuncak dan kami percaya dolar AS akan menyusut nilai berbanding mata wang Asia mulai suku kedua hingga keempat 2023," jelasnya.
RHB Investment akan terus mengesyorkan pembelian India disebabkan ia menurun manakala menjual dalam pasaran China kerana ia terus meningkat, dengan menjangkakan Asia Tenggara kekal berdaya tahan pada 2023.
Dalam pendapatan tetap, ia menyokong pemilihan bon kerajaan jangka panjang di AS dan Asia Tenggara.
"Dari segi kredit, kami memihak kepada AS berbanding bon hasil tinggi pasaran baharu muncul (EM) kerana risiko berkaitan China mungkin akan menjejaskan sentimen untuk EM sebagai kelas aset.
"Purata pulangan dalam pendapatan tetap, kami percaya, boleh berada dalam angka tunggal yang tinggi," katanya.
Secara keseluruhan, menurutnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Tenggara akan menyederhana pada separuh pertama sebelum kembali pulih pada separuh kedua 2023.
Keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan, pengukuhan dasar fiskal dan monetari yang longgar berbanding sebelum itu dan pertumbuhan AS yang berdaya tahan berkemungkinan mengekalkan rantau ini disokong dengan baik dari segi aktiviti ekonomi pada tahun hadapan.
"Kelemahan pada suku pertama disebabkan eksport sebenar, di mana kami menjangkakan ia terus lemah sebelum kembali pulih pada separuh kedua.
"Eksport sebenar di Asia Tenggara akan mencerminkan kemerosotan yang kami jangkakan dalam pertumbuhan penggunaan swasta AS pada separuh pertama diikuti dengan pemulihan pada separuh kedua 2023," jelasnya. - DagangNews.com








