KUALA LUMPUR 25 Julai - Exabytes menjalinkan kerjasama bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menerusi penawaran sistem infrastruktur, platform dan perisian berasaskan awan sebagai satu bentuk perkhidmatan bagi merangsang transformasi digital perniagaan dalam era pasca pandemik.
Kerjasama ini turut memberikan pelanggan-pelanggannya akses kepada aplikasi-aplikasi perniagaan seperti Smart Building, Smart City, Smart Traffic, Smart Agriculture, Smart Healthcare, Smart Logistic dan teknologi-teknologi pintar lain yang dikuasakan oleh pembelajaran mesin (ML), kecerdasan buatan (AI) dan Internet Segala Benda (IoT).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak berkata, infrastruktur berasaskan awan semata-mata tidak akan mampu untuk memacu perkembangan perniagaan.
"Ia perlu disokong oleh pelbagai aplikasi perniagaan bagi mencapai hasil-hasil perniagaan yang diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perusahaan Perniagaan Exabytes, Eric Foo pula berkata, jalinan kerjasama dengan Huawei Malaysia untuk menggunakan platform berasaskan awan serta ekosistem teknologi rakan kongsinya akan menjadi pemangkin bagi memacu perjalanan transformasi digital berasaskan awan untuk perniagaan di Malaysia dan negara-negara lain.
"Kami bercita-cita untuk memanfaatkan keupayaan teknologi digital bagi mendapatkan kelebihan persaingan yang lebih baik di samping nilai-nilai perniagaan lain buat pelanggan-pelanggan kami.
“Sokongan daripada platform berasaskan awan Huawei dan ekosistem rakan kongsi kami akan menjadi pemacu inovasi apabila kedua-duanya dipadankan dengan teknologi pintar berasaskan awan Exabytes selaku penyedia perkhidmatan lengkap Teknologi Digital, e-Dagang dan Perniagaan Berasaskan Awan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Awan dan AI Huawei Malaysia, Lim Chee Siong berkata, perkembangan pasaran berasaskan teknologi awan di Malaysia telah membawa mereka ke satu tahap kerjasama penting bagi Huawei Cloud dan Exabytes.
"Kami akan memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi membekalkan teknologi yang saling melengkapi dan meneroka peluang-peluang untuk inovasi bersama bagi menangani keperluan transformasi digital perniagaan.
"Pada masa hadapan, perkongsian sebegini adalah penting dan merupakan kunci utama bagi membina ekosistem yang teguh di Malaysia untuk semua perniagaan. Kami berharap kerjasama kami akan membuahkan kejayaan bersama bagi kedua-dua organisasi," katanya.
Exabytes dan Huawei akan bekerjasama secara erat dengan pelanggan-pelanggan dan rakan-rakan kongsi mereka bagi mewujudkan lebih banyak persekitaran yang terbuka, bersifat kolaboratif, dan menguntungkan kedua-dua belah pihak sekali gus mengukuhkan ekosistem industri serta memesatkan transformasi digital.
Exabytes juga merancang untuk mengembangkan ekosistem rakan kongsinya dengan membawa lebih banyak rakan kongsi teknologi berasaskan awan pada peringkat serantau dan global ke Malaysia.
Exabytes merancang untuk memanfaatkan kehadirannya di Indonesia bagi mempromosikan perkhidmatan Huawei Cloud dan perkhidmatan serta teknologi-teknologi ekosistem rakan kongsinya dalam pasaran yang berpotensi tinggi dan berkembang pesat. - DagangNews.com








