KUALA LUMPUR 23 Mei - Exabytes Capital Group Sdn Bhd (Exabytes) selesai mengambil alih Infinity Consulting Technology Sdn Bhd (ICT), pakar dalam perkhidmatan sandaran dan Pemulihan Bencana Perniagaan, di bawah jenama Aegis.
Pengambilalihan Aegis menjadi satu langkah strategik kepada Exabytes bagi memperluas bidangnya dalam perniagaan perusahaan sekali gus menerajui transformasi digital pertama berasaskan awan di Malaysia dan rantau Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak berkata, misi syarikat adalah untuk merancakkan penerimagunaan transformasi digital berasaskan awan bukan sahaja dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi juga perusahaan.
"Kami mempunyai matlamat untuk menjadi pembekal perkhidmatan dan teknologi awan dan perniagaan digital yang utama di rantau ini. Pengambilalihan ICT, atau Aegis memberikan kami kelebihan dalam teknologi perniagaan perusahaan, terutama sekali dalam aspek perkhidmatan pemulihan bencana. Kami kini berdiri teguh sebuah pembekal teknologi e-Dagang sehenti yang lebih kukuh.
”Pengambilalihan Aegis secara sepenuhnya ini membantu kami untuk menawarkan rangkaian perkhidmatan kesinambungan perniagaan dan pemulihan bencana serta perlindungan data, yang amat diperlukan oleh klien-klien sedia ada Exabytes.
"Ia terdiri daripada 160,000 PKS di seluruh dunia dalam pengembangan dan penerimagunaan e-dagang pada peringkat global yang berlaku dengan amat pesat sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Exabytes berpengalaman selama lebih dua dekad dalam transformasi digital e-Dagang. Ia menawarkan perkhidmatannya kepada lebih 160,000 PKS di 121 negara.

Menerusi pengambilalihan itu, Exabytes akan meluaskan perkhidmatan dan produknya merangkumi aspek pemulihan perniagaan, sandaran, pelayan siap sedia atau replika bagi perkhidmatan dan kemudahan Pemulihan Bencana (DR) dengan pelan-pelan yang fleksibel serta menarik.
Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perusahaan Perniagaan Exabytes, Eric Foo pula berkata, beliau percaya dengan pengambilalihan itu ialah satu penggemblengan kekuatan antara kedua-dua entiti.

“Pelanggan-pelanggan Exabytes kini boleh menikmati perkhidmatan dan produk-produk transformasi digital berasaskan awan yang lebih menyeluruh.
"Paling penting, teknologi Sandaran dan Pemulihan Bencana Berasaskan Awan membantu pelanggan-pelanggan kami untuk mengurangkan kos penyelenggaraan IT secara dalaman, menjimatkan pelaburan modal perkakas dan perisian serta menawarkan pelan kebolehskalaan yang fleksibel bagi memenuhi keperluan pemulihan bencana pelanggan, keperluan teknologi pemulihan data dan sandaran.
"Teknologi dan perkhidmatan-perkhidmatan ini kini tersedia di Malaysia, Singapura, dan Indonesia," katanya. - DagangNews.com








