EP Manufacturing wujudkan perkongsian strategik teroka sektor perdagangan kredit karbon | DagangNews Skip to main content

EP Manufacturing wujudkan perkongsian strategik teroka sektor perdagangan kredit karbon

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Shargulf Technologies, Liu Hulin (kiri) bersama Pengerusi Siraj Holding LLC, Ahmed Khalaf Al-Otaiba (tengah) dan Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing, Hamidon Abdullah (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pelaburan di Dubai, baru-baru ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - EP Manufacturing Berhad sedang meneroka sektor kredit karbon menerusi perkongsian strategik dengan dana global yang memberi fokus kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memenuhi visinya.

 

Kumpulan itu juga mempelbagaikan perniagaannya termasuk kenderaan elektrik (EV) dalam usaha untuk mengurangkan jejak karbonnya.

 

Pada 16 September 2022, kumpulan itu menandatangani perjanjian pelaburan bersama CIS Pride Fund SPC dan Sharkgulf Technologies Group Ltd yang berpangkalan di China.

 

"Ia akan menyediakan dana sekurang-kurangnya AS$50 juta (RM227.27 juta) untuk penubuhan infrastruktur pertukaran bateri untuk EV dua roda berjenama Blueshark.

 

"Sebelum ini kumpulan itu telah bekerjasama dengan Sharkgulf untuk melancarkan EV dua roda berjenama Blueshark di Malaysia dan di seluruh Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

CIS Pride ESG Fund akan melabur dalam perniagaan EV kumpulan itu untuk pajakan kewangan, rantaian bekalan dan pembuatan yang berkaitan. 

 

Pada masa sama, EP Manufaturing juga menandatangani satu lagi perjanjian pelaburan bersama Siraj Holding LLC yang berpangkalan di Abu Dhabi dan Sharkgulf dengan syarikat itu akan melabur secara berperingkat sekurang-kurangnya AS$50 juta (RM227.27 juta) bagi mendapatkan kenderaan dua roda berkenaan.

 

"Syarikat itu kemudian akan memajaknya kepada rakyat Malaysia daripada golongan B40, menawarkan mereka peluang pekerjaan gig untuk pendapatan tambahan," katanya. 

 

Siraj Holding LLC, cabang keluarga Al-Otaiba, merupakan entiti yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang terlibat dengan perniagaan perbankan, pengurusan aset, insurans, kepentingan minyak dan gas, hospitaliti, pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan infrastruktur, perdagangan komoditi, teknologi dengan aset asas sekitar AS$10 bilion (RM45.45 bilion). 

 

Pada 15 September 2022, EP Manufacturing  juga telah memeterai perjanjian persefahaman dengan SJQ Investments LLC dan Sharkgulf untuk bersama-sama meneroka pengembangan dan pembangunan EV beroda dua untuk pasaran Asia Barat dan Afrika.

 

Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad, Hamidon Abdullah berkata, kumpulan itu bersama rakan kongsi antarabangsa baharunya, komited dalam mengurangkan jejak karbon. 

 

Beliau berkata, program EV dua roda yang diumumkan sebelum ini adalah salah satu inisiatif sedemikian.

 

"Melangkah ke hadapan, perkongsian ini akan meneroka pelbagai inisiatif berkaitan. Penyelesaian neutral karbon kini ialah arah tuju dunia. Kami akan terus menilai dan melabur ke arah ini selain akan membina bahagian Kredit Karbonnya sendiri. 

 

"Kami mesti ambil perhatian bahawa dengan kerjasama yang ditandatangani baru-baru ini, kami pastinya mempunyai jumlah kepakaran, dan jumlah rangkaian bersama-sama sumber kewangan, untuk meneroka dan membawa aset ini seperti kredit karbon ke peringkat seterusnya," katanya.

 

Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan Homologasi, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) pada 30 Ogos 2022 memberi kelulusan untuk model “Blueshark R1” di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.

 

Kelulusan VTA diperoleh kira-kira sebulan selepas EP Manufacturing menerima Kelulusan Bersyarat daripada kerajaan untuk pembinaan kilang pembuatan sulungnya untuk kenderaan dua roda elektrik. - DagangNews.com