Ekspo MY Travel tawar konsep cuti dahulu bayar kemudian | DagangNews Skip to main content

Ekspo MY Travel tawar konsep cuti dahulu bayar kemudian

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Ekspo pelancongan domestik 'cuti dahulu bayar kemudian’ yang julung kali diadakan di Malaysia berhasrat untuk mempromosikan pelbagai destinasi percutian yang hebat di negara ini dan menjadikan percutian mampu dinikmati semua.

 

Ekspo MY Travel yang pertama ini akan diadakan di Hall 1, Setia City Convention Centre di Shah Alam, Selangor bermula 10 pagi hingga 10 malam pada 1 Oktober dan 10 pagi hingga 8 malam pada 2 Oktober 2022. 

 

Para pelawat berpeluang memenangi sebuah kereta Perodua Axia baharu apabila menyertai peraduan media sosial ekspo ini. 

 

Ekspo selama dua hari yang dianjurkan Skinny Fat Kids Worldwide Sdn Bhd (SFK) dan disokong Tourism Malaysia dan Media Prima Audio dijangka menampilkan 80 buah gerai pameran yang menawarkan pelbagai pilihan pakej pelancongan dan kediaman di seluruh negara pada harga menarik.  

 

Buat julung kali dalam industri pelancongan, SFK bekerjasama dengan syarikat teknologi kewangan tempatan Kale Technologies Sdn Bhd untuk memperkenalkan konsep ‘cuti dahulu bayar kemudian’.  

 

Para pengunjung ekspo boleh menggunakan aplikasi PayLater untuk membuat pembelian dengan sehingga 12 ansuran tanpa fi.

 

Pengarah Projek SFK untuk Ekspo MY Travel, Jonathan Lim berkata, konsep ini akan membolehkan lebih ramai warga Malaysia menikmati percutian dan pada masa yang sama menyokong industri pelancongan tempatan.

 

“Kenaikan kos sara hidup dan kadar pertukaran ringgit yang lemah telah membuatkan pelancongan ke luar negara semakin mahal dan di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang memiliki keluarga besar. 

 

"Dengan membahagikan pembayaran kepada ansuran yang lebih kecil, pengguna tidak perlu lagi menunggu. Ini selaras dengan slogan kami ‘No more nanti, time to cuti!’.  

 

"Konsep ini memberi kelebihan kepada pengguna dan industri pelancongan Malaysia yang masih terjejas akibat penutupan sempadan antarabangsa yang menghalang ketibaan pelancong asing terutamanya dari negara China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Presiden Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA), Jenny Lee menyambut baik inisiatif untuk mempromosikan pelancongan tempatan.

 

“Kesan pandemik yang masih dirasai bermakna kita perlu membantu satu sama lain untuk menyokong perniagaan tempatan. Saya menyeru rakyat Malaysia untuk mengunjungi pulau-pulau dan kawasan destinasi menyelam yang cantik di negara kita sendiri," katanya. - DagangNews.com