Effendy Shahul Hamid terajui Group Consumer & Digital Banking CIMB mulai 1 Jan 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Effendy Shahul Hamid terajui Group Consumer & Digital Banking CIMB mulai 1 Jan 2023

Effendy Shahul Hamid

KUALA LUMPUR 23 Nov - CIMB Group Holdings Bhd. melantik Effendy Shahul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Group Consumer & Digital Banking berkuat kuasa 1 Januari 2023.

 

Pelantikan itu akan menyaksikan perniagaan Group Consumer Banking dan CIMB Digital Assets berada di bawah payung lebih luas di bawah Group Consumer & Digital Banking untuk memacu pertumbuhan perniagaan pengguna CIMB dan mempercepatkan agenda digitalnya sejajar dengan pelan strategik Forward23+.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, Effendy ialah pemimpin yang berwawasan dengan rekod kejayaan yang pelbagai dan terbukti dalam CIMB, telah menerajui pelbagai unit sejak menyertai kumpulan perbankan itu pada 2004.

 

"Keupayaan dan pengalaman beliau dalam aliran perbankan dan perkhidmatan kewangan serta keupayaan pelaksanaan yang terbukti merentas perniagaan yang berbeza akan menjadi tidak ternilai dalam membuktikan perniagaan kami pada masa hadapan dan memacu pertumbuhannya semasa kami mengharungi landskap yang mencabar dan semakin kompetitif.

 

"Perbankan pengguna dan francais perniagaan digital kami akan memainkan peranan penting dalam mencipta nilai untuk pelanggan di seluruh ASEAN dan memastikan kami melaksanakan pelan strategik Forward23+,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelantikan beliau adalah selaras dengan persaraan Samir Gupta selepas 12 tahun berkhidmat dengan kumpulan. 

 

Samir menyertai Kumpulan CIMB pada 2010 sebagai Pengarah Perbankan Pengguna PT CIMB Niaga Tbk, unit Indonesia CIMB, dan beliau telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Kumpulan sejak 2016.

 

Effendy mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan perbankan dan kewangan, telah berkhidmat dalam pelbagai peranan kepimpinan kanan di Kumpulan CIMB sejak 18 tahun lalu.

 

Terbaru, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Digital Assets dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go sejak Oktober 2020. - DagangNews.com