Eco World catat untung bersih RM66.3 juta bagi 3QFY23, peningkatan 43% berbanding RM46.4 juta pada tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Eco World catat untung bersih RM66.3 juta bagi 3QFY23, peningkatan 43% berbanding RM46.4 juta pada tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Sept - Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) mencatatkan untung bersih sebanyak RM66.3 juta atau peningkatan 43% bagi suku tahun berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23) berbanding RM46.4 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu, mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM477 juta pada 3QFY23 iaitu 7.4% lebih tinggi daripada RM444 juta yang dicatatkan pada 3QFY22.

 

Mereka juga berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran jualan FY23 sebanyak RM3.5 bilion dengan jualan terkumpul dicatatkan dalam tempoh 10 bulan ialah RM3.06 bilion mewakili 87.4% daripada sasaran.

 

"Segmen Eco Business Parks (EBPs) mencapai rekod jualan RM997 juta dalam tempoh 10 bulan, mewakili 132.4% daripada jualan industri setahun penuh FY22 dan hampir satu pertiga daripada jualan kumpulan.

 

"Jualan rumah kediaman melebihi RM1.63 bilion pada 31 Ogos 2023, mewakili 53.3% daripada jumlah jualan yang dicapai setakat ini, dengan rumah berharga melebihi RM650,000 terus menjadi penyumbang terbesar.

 

"Produk komersial mencapai jualan RM432 juta dalam tempoh 10 bulan, hampir dengan jualan komersil setahun penuh FY22 sebanyak RM446 juta, disumbangkan oleh unit kedai dan pejabat yang dilancarkan pada tahun ini dalam perbandaran EcoWorld Malaysia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata, kumpulan itu terus menikmati permintaan yang mampan bagi semua produk dengan jualan sebanyak RM3.06 bilion dalam 10 bulan, meletakkan mereka terbaik untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM3.5 bilion bagi FY23.

 

Katanya, kumpulan itu terus mencatatkan jualan stabil hartanah kediaman melebihi RM1.63 bilion pada 31 Ogos 2023, dengan rumah naik taraf menjadi penyumbang terbesar setakat ini.

 

"Dalam beberapa bulan akan datang kami akan siri duduk di Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang berikutan penerimaan yang habis dijual bagi dua pelancaran pertama kami di Lembah Klang, iaitu Huni D' Eco Ardence dan Se.Ruang D' Eco. 

 

"Pelancaran duduk ketiga kami, Hana D' Eco Ardence juga menyaksikan pengambilan yang sangat baik dengan lebih separuh dijual dalam tempoh enam bulan pertama pelancarannya pada Mac 2023," katanya. - DagangNews.com