Dunia berdepan ancaman kemelesetan pada 2023 - Moody's | DagangNews Skip to main content

Dunia berdepan ancaman kemelesetan pada 2023 - Moody's

Pertumbuhan global jatuh pada suku kedua berbanding setahun lalu buat kali pertama sejak penularan virus pada awal 2020. - Gambar : dari Facebook
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Sept - Moody's Analytics menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar global bagi 2022 kepada 2.7% tahun ini berbanding 4.2% yang dibuat pada Januari lalu. 

 

Malah, ia juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi global yang lebih rendah pada 2023 sekitar 2.3% daripada unjuran sebelum ini, 3.6%.

 

Menurutnya, ekonomi global sedang berada di persimpangan apabila pemulihan pasca pandemik yang baru bermula dengan pantas telah berubah kepada persekitaran yang lebih suram dan rapuh.

 

"Walaupun ekonomi global diunjurkan berkembang pada 2022, sebarang kesilapan dasar atau risiko tambahan akan meningkatkan lagi ancaman kemeseletan seluruh dunia dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk melebihi penilaian semasa," katanya dalam kenyatan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Menurutnya, inflasi yang mencecah rekod tertinggi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah daripada kekurangan bekalan serta lonjakan harga komoditi susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, memberi kesan kepada pertumbuhan global dan ini diburukkan lagi oleh tindak balas dasar monetari yang agresif.

 

Pada masa sama, katanya, ekonomi China sedang berdepan cabaran dalam pelbagai segi, termasuk pasaran hartanah yang lembap dan peningkatan risiko dalam sektor kewangan.

 

Sehubungan itu, Moody's Analytics berkata, pertumbuhan global jatuh pada suku kedua berbanding setahun lalu buat kali pertama sejak penularan virus pada awal 2020, dipacu oleh penguncupan di AS, United Kingdom (UK) dan China.

 

"Lebih meluas lagi, prestasi kekal tidak sekata dalam kalangan ekonomi utama dunia iaitu AS, China, Jepun, India dan lima ekonomi terbesar di Eropah Barat.

 

"Hasil akan terus berbeza-beza sepanjang 2023 disebabkan perbezaan hubungan perdagangan dan pelaburan ke Rusia serta Ukraine, terutamanya berkaitan produk negara," katanya. - DagangNews.com