KUALA LUMPUR 25 April - United ASEAN Discovery Fund dari UOB Asset Management (Malaysia) (UOBAM (Malaysia)) telah mengungguli Jadual Liga Ekuiti ASEAN Lipper 2021, berdasarkan prestasi kukuh dana dari segi purata pulangan sebanyak 70% berbanding prestasi rakan industri serantau.
Sebagai tambahan, dana ini juga dinamakan Dana Terbaik bagi tempoh 3 Tahun, dalam kategori
Ekuiti ASEAN di Anugerah Dana Refinitiv Lipper Malaysia 2022.
Dana United Bond and Equity Strategic Trust UOBAM (Malaysia) juga dianugerahkan Dana Terbaik bagi tempoh Tiga Tahun untuk Aset Campuran RM Seimbang – dalam kategori Global oleh Refinitiv Lipper Malaysia. Sebagai tambahan, dana ini juga mencapai pulangan 18 peratus mengatasi prestasi berbanding rakan industri lain.
Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia), Lim Suet Ling berkata, tumpuan berterusan UOBAM (Malaysia) pada sektor penjagaan kesihatan dan teknologi yang berkembang pesat semasa kemuncak pandemik memainkan peranan penting dalam prestasi kukuh United ASEAN Discovery Fund dan United Bond and Equity Strategic Trust.
Katanya, dalam sektor penjagaan kesihatan, syarikat seperti pengeluar sarung tangan meraih manfaat daripada permintaan kukuh untuk produk dan peralatan penjagaan kesihatan.
"Faktor yang mendorong sektor teknologi termasuk pecutan dalam pendigitalan, dan juga lencongan perdagangan apabila syarikat global mempelbagaikan rantaian bekalan mereka ke rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, UOBAM (Malaysia) mengamalkan pendekatan penyelidikan dari bawah ke atas untuk memanfaatkan prospek positif, di samping memberi tumpuan pada asas syarikat sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan berstruktur kami untuk mencapai pulangan dan prestasi dana yang cemerlang bagi pelabur.
"Kami juga memanfaatkan kepakaran Kumpulan UOBAM dan pengetahuan pasaran tempatan yang mendalam di Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam untuk mengukuhkan lagi pemilihan portfolio.
"Strategi kami, disokong oleh pemilihan kelas aset yang sesuai, adalah kunci kepada dana kami menerima pengiktirafan daripada industri," tambahnya. - DagangNews.com








